KOTA KINABALU: Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Kali Ke-7 akan berlangsung pada 1 hingga 3 Julai depan.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri Dr. T.C. Goh berkata walaupun jumlah penyertaan pasukan luar negara berkurangan ekoran kekangan Prosedur Operasi Standard (SOP) di negara masing-masing, beliau menyeru rakyat Sabah agar terus menyokong dan memeriahkan pertandingan yang bakal dilaksanakan di Teluk Likas.
“Penyertaan pasukan luar negara bagi Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa kali ke-7 dari dijangka berkurangan akibat pandemik Covid-19 yang berlaku di negara masing-masing.
“Walaupun pendaftaran pertandingan ini masih belum ditutup namun, penglibatan daripada negara lain masih kurang disebabkan kekangan SOP di negara masing-masing.
“Ini kerana terdapat banyak lagi negara yang belum terbuka ataupun banyak sekatan maka mungkin tidak begitu sesuai untuk pasukan mereka datang menyertai bersama.
“Ada negara seperti China masih mengamalkan kuarantin selama 28 hari maka mungkin tidak begitu sesuai dari pasukan negara tersebut menyertai pertandingan ini,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, T.C. Goh memaklumkan acara tahunan anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) itu menerima penyertaan tempatan yang amat menggalakkan.
“Saya bersyukur kerana tahun ini pertandingan perahu Naga kali ke-7 dapat dilaksanakan selepas dua tahun tidak dapat menganjurkan pertandingan ini akibat pandemik Covid-19.
“Para peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini juga terdiri daripada kaum bumiputera.
“Penyertaan daripada pasukan tempatan daripada seluruh negara amat menggalakkan dijangka lebih 100 pasukan akan turut serta setelah dua tahun tidak dapat mengadakan pertandingan tersebut,” jelasnya selepas mengadakan kunjungan hormat bersama rombongannya terhadap
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu. – JaPen Sabah/Warta Oriental