Perlukah PKP Penuh?

PKP-Kuala-Lumpur.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Tulus Budiman

1.Ramai yang menanti dengan penuh debaran keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini yang akan menentukan sama ada PKP penuh akan dilaksanakan atau sebaliknya.

2. Yang mungkin tidak berada dalam senarai ‘ramai’ itu ialah penjawat awam, penerima pencen dan orang-orang berjawatan serta bergaji, yang berada dalam kedudukan tidak terjejas jika PKP penuh itu dilaksanakan.

3. Selebihnya, orang biasa sama ada yang berstatus majikan, pekerja, peniaga kecil atau besar, petani, pekebun, nelayan, hatta peminta sedekah dan gelandangan, akan berada dalam situasi sebaliknya. Resah, cemas, bimbang dan apa sahaja perasaan lain seumpamanya.

4. Sekiranya PKP penuh dilaksanakan, mereka bukan sahaja berdepan dengan risiko kehilangan pendapatan, malah juga berkemungkinan hilang pekerjaan. Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan, memetik Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai berkata, PKP penuh akan menyebabkan sektor perniagaan akan kehilangan RM2.4 bilion sehari sebagaimana dialami semasa pelaksanaannya bagi kali pertama pada Mac hingga Mei tahun lalu.

5. Sepanjang tempoh itu 32,000 syarikat gulung tikar dan ratusan ribu orang – atau lebih – hilang pekerjaan.

6. Menteri Kewangan juga baru-baru ini berkata penutupan ekonomi menyeluruh ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan memudaratkan golongan rentan dan mudah terjejas.

7. Menurut beliau, seramai 2.8 juta rakyat yang bekerja dalam sektor mikro dan usahawan kecil akan terjejas melalui pengurangan pendapatan yang besar. Selain itu menurutnya dianggarkan satu juta rakyat Malaysia akan menganggur jika PKP seperti PKP 1.0 dilaksanakan sekarang.

8. Dari sudut lain, mereka yang menyokong PKP penuh berpendapat kerajaan tidak mempunyai pilihan lain melainkan melakukan suatu langkah yang bersifat ‘one and for all’ memandangkan gelombang serangan Covid-19 semakin mengganas dengan peningkatan jumlah kes yang memberikan gambaran ia semakin sukar dikawal.

9. Itulah dilemanya sekarang. Ditelan mati emak, diluah mati bapak; tidak ditelan, tidak diluah, mati katak.

10. Di tengah-tengah dilema itu, persoalan asalnya kekal sama; perlukah PKP penuh dilaksanakan?

11. Bagi marhain macam saya, ia tidak perlu. Atau sekurang-kurangnya belum perlu. Lebih baik ditingkatkan pelaksanaan PKPD secara bersasar kerana kesannya dalam konteks ekonomi dan piskologi tidaklah seteruk PKP penuh.

12. Sebenarnya semua langkah yang diambil selama ini PKP, PKPB, PKPD, PKPP sudah memadai. Yang menjadi masalah adalah penyampaian, pelaksanaan dan penguatkuasaannya. SOP yang tidak jelas, arahan yang bersifat flip-flop, penguatkuasaan yang lemah, amalan ‘berkasta’, kecelaruan komunikasi dari atas hingga ke bawah, kegagalan membetulkan persepsi dan banyak lagi kelemahan lain merupakan penyumbang kepada kegagalan kita memenangi peperangan ini.

13. Tumpuan sepatutnya diberi untuk mengatasi kelemahan-kelemahan itu. Kerjasama antara kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat perlu diperkasakan. Usaha perlu dibuat supaya semua tindakan dilihat sebagai gerak kerja berpasukan bukannya kelihatan terpisah sebagaimana yang lazim terjadi sekarang.

14. Tanpa inisiatif ke arah itu, buatlah apa sekali pun, kesannya tidak akan seberapa. Kita takut jadi macam orang utara kata, ‘pi mai pi mai tang tu jugak.’

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top