Perlukah Muhyiddin Berundur?

muhyiddintassin-18102020.jpg

1.Hanya beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong mengumumkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat, di sana sini muncul kenyataan mendesak perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

2. Alasan mereka, cadangan PM dan kabinet untuk mengadakan darurat telah ditolak oleh Tuanku, jadi sewajarnya atas nama moral, Muhyiddin kena berundur.

3. Yang mereka tidak beritahu ialah mereka ini cuba menangguk di air keruh.

4. Mereka malah mengabaikan sama sekali peringatan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong supaya semua ahli politik jangan berpolitik sehingga mengganggu gugat kestabilan negara.

5. Tetapi yang riuh-rendah itu kebanyakannya macai belaan. Antaranya termasuk sebuah portal yang begitu beria-ia mempromosi ‘sepasang’ orang tua sebagai gandingan untuk menjadi PM dan TPM interim.

6. Orang politik kalau ada pun setakat ini cuma seorang dua. Salah seorang daripadanya ialah Puad Zarkashi, ahli majlis tertinggi Umno (DILANTIK).

7. Tetapi Puad ni tak boleh pakai  sangat pun. Sama macam Khaled Nordin, Nur Jazlan, Shahrir Samad (yang kalah hampir 20,000 undi dengan seorang ‘budak’ dari PKR), dia sentiasa tidak puas hati dengan PN dan Muhyiddin. Ada sahaja yang tak kena. Kadang-kadang rengeknya macam budak ‘tak sihat’ yang perlukan perhatian.

6. Soalnya, perlukah Muhyiddin berundur dalam keadaan sekarang?

7. Moral? Sejak bila politik Malaysia ini mementingkan soal moral dan etika?

8. Kalau yang pernah dipenjara, yang didakwa menyebabkan kerugian berpuluh bilion ringgit dalam ‘permainan’ forex, yang telah dijatuhkan hukuman, yang turun naik mahkamah pun boleh ‘buat bodoh’ dan terus berpolitik, apalah sangat dengan ‘kesalahan’ Muhyiddin itu?

9. Mengambil intipati titah Yang di-Pertuan Agong yang membawa maksud kestabilan negara harus dipelihara, Muhyiddin tidak perlu disuruh membuka ruang kepada satu lagi krisis politik baharu.

10. Peletakan jawatan Muhyiddin, jika benar, hanya akan memuaskan hati sebahagian orang tetapi tidak dapat memberi sebarang jaminan bahawa kemelut politik negara akan berakhir.

11. Yang ada hanyalah tanda-tanda ia akan menjadi lebih bercelaru.

12. Muhyiddin mungkin ada kelemahannya. Beberapa, atau banyak. Tetapi jika dibandingkan dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan memerintah dahulu, saya percaya ramai di kalangan rakyat biasa macam saya bersetuju bahawa Muhyiddin sebenarnya lebih baik.

13. Cuma masalah dengan perdana menteri yang seorang ini ialah beliau kurang sangat bercakap. Kalut-malut tentang darurat ini misalnya, mungkin boleh dielak jika dari mula Muhyiddin memperjelaskan kepada rakyat dengan sejelas-jelasnya sebelum cadangan itu dibawa ke tengah.

14. Ini tidak, biarkan khabar bergerak dulu daripada berita. Bila sana-sini orang bagi pendapat dan buat persepsi sendiri, keadaan menjadi tidak terkawal.

15. Dengan apa yang terjadi semalam, saya berpendapat, sudah sampai masanya Muhyiddin rajin bercakap sedikit. Memanglah diam itu baik. Tetapi jangan sampai ada orang kata bukan semua diam ubi itu berisi.

 

Oleh: Jeanbara Jr

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top