Perlu Dapat Kelulusan MPT Sebelum Dirikan Rumah Di Tapak Kebakaran

kebakaran-tawau.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Mangsa kebakaran di Kampung Titingan di sini semalam, yang mahu mendirikan semula rumah di kawasan tersebut perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kelulusan itu perlu bagi mengelak masalah berbangkit pada masa akan datang di samping penstrukturannya lebih teratur.

Namun, bagi penempatan yang terlibat dengan projek pembesaran Sungai Tawau dinasihatkan supaya tidak mendirikan semula rumah di kawasan tersebut.

“Projek itu memang sudah dirancang oleh kerajaan bagi memberi manfaat kepada warga di daerah ini khususnya dalam mengatasi masalah banjir kilat dan menjadikan aliran sungai lebih lancar,”katanya.

Nizam

Beliau berkata demikian semasa melawat mangsa kebakaran di penempatan sementara Balai Raya Kampung Titingan, di sini hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata mangsa kebakaran boleh memohon untuk tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ada di daerah ini.

“Pada kebiasaannya mangsa kebakaran dan penempatan yang terlibat dengan projek kerajaan akan diberikan keutamaan untuk memohon PPR.

“Namun ianya bergantung kekosongan PPR yang ada dan kelulusannya juga tertakluk kepada kelayakan pemohon,” katanya.

Menurutnya, dia akan memberikan sokongan sekiranya mangsa kebakaran di sini mahu memohon PPR yang ada di daerah ini.

Nizam berkata, pihaknya berharap kerajaan yang ada pada hari ini dapat membina lebih banyak PPR di daerah ini khusus di kawasan Apas.

“PPR menjadi satu keperluan rakyat di kawasan Apas memandangkan ramai penduduk di sini yang tinggal di kawasan setinggan.

“MPT dan Jabatan Tanah diminta untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembinaan PPR di daerah ini supaya boleh dicadangkan kepada pihak kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai lawatannya itu, Nizam berkata pihaknya sangat bersimpati dengan musibah yang menimpa penduduk di sini.

“Saya difahamkan seramai 363 orang daripada 84 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam kebakaran tersebut.

“Kita sedar, mangsa yang terlibat juga merupakan daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan ada diantara mereka yang sudah tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Nizam berkata, pihaknya menyampaikan bantuan berupa wang tunai bagi meringankan sedikit bebanan yang mereka tanggung.

“Saya difahamkan pihak MPT juga sedang berusaha mencari dewan yang lebih besar untuk penempatan sementara mangsa kerana balai raya tersebut terlalu sempit dan tidak selesa.

“Saya berharap semua mangsa dapat menghadapi ujian ini dengan tabah dan pihaknya akan sentiasa membantu sedaya upaya,” katanya. – Utusan Borneo

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top