PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengukuhkan aspek keselamatan di perairan Sabah dan Sarawak melibatkan pertahanan ketenteraan strategik bagi memastikan negara ini mampu bertahan jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.
Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan, berkata baru-baru ini, China meningkatkan belanjawan ketenteraan mereka selain melaksanakan latihan secara besar-besaran di sekitar perairan Taiwan sebagai bantahan susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu.
Menurutnya, Filipina juga buat pertama kalinya telah diberikan amaran langsung oleh kerajaan China apabila mereka menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai provokasi ketenteraan walaupun di dalam kawasan perairan mereka sendiri.
“Jika berlaku konflik di Laut China Selatan, Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan sekiranya Malaysia terus lemah dan tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan kita,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad mahu negara ini mengambil peluang kesediaan China mahu bekerjasama dengan negara Asean bagi menyelesaikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan.
“Malaysia harus lantang bersuara tegas bagi memastikan rundingan itu tidak berat sebelah atau memihak China dan pada masa sama menunjukkan Malaysia adalah negara Asean yang kuat,” katanya.
Duta Khas Malaysia ke China yang juga Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, baru-baru ini menerima kecaman selepas mengkritik kunjungan Pelosi ke Taiwan. Kenyataan itu dilihat berpihak kepada Beijing, berbanding pendirian rasmi Kementerian Luar.
Ahmad yang juga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen Negara (PAC), berkata sebahagian negara lain sudah mula mengukuhkan aspek ketenteraan termasuk keselamatan di perairan sempadan masing-masing.
Beliau berkata, sewajarnya Malaysia juga melakukan tindakan sama dengan mempertingkatkan dan menaiktaraf aset ketenteraan khususnya aset tentera laut.
Katanya, kontroversi penangguhan projek enam kapal tempur pesisir (LCS) meletakkan negara pada kedudukan lemah untuk menjaga keselamatan perairan negara.
“Jika Malaysia terus kelihatan lemah dalam menjaga kedaulatan di sempadan perairan kita, kita bakal berhadapan banyak kerugian khususnya urus niaga serta kepentingan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EZZ) antaranya sektor perikanan,” katanya.