PUTATAN: Peranan Komuniti Rukun Tegangga (KRT) harus diperkukuhkan dalam memastikan kesejahteraan komuniti terus terbela.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya berkata ini bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup komuniti terutamanya semasa pandemik Covid-19 ini.
“Kita menyeru semua KRT agar menjalankan program RT Cares ini bagi kita sama-sama menunaikan tanggungjawab sosial dan juga melahirkan rasa prihatin kita kepada golongan yang terkesan akibat pandemik,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika menghadiri program RT Cares dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Daerah Putatan di Putatan pagi tadi.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menyeru orang ramai agar memberi kerjasama dalam usaha melandaikan penularan covid19 di negara ini.
“Kita sudah melihat tanda-tanda pemulihan dengan kadar kemasukan ke ICU yang semakin rendah dan juga peningkatan jumlah pemberian vaksin yang begitu baik sekali.
“Kita berharap rakyat sama-sama berkerjasama menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini agar kita dapat keluar daripada pandemik yang kita sedang harungi sekarang.
“Utamakan kestabilan negara, fokus kepada menangani pandemik dan memulihkan ekonomi negara. Berilah sokongan padu kepada semua usaha ini,” katanya.
Program RT Cares merupakan sebuah program penyampaian bakul makanan kepada penduduk terkesan pandemik Covid-19 di kawasan rukun tetangga yang dikelolakan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Negeri Sabah.
Shahelmey juga menyeru orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan pada tahun ini.