Perkongsian Pintar Mampu Selesaikan Masalah Bekalan Air Luar Bandar

jahid-joniston.jpg
Kongsi Bersama

KIULU: Perkongsian pintar pelbagai pihak mampu menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan luar bandar Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kolaborasi pintar pelbagai pihak dalam memaksimakan penggunaan teknologi mampu menjayakan projek bekalan air bersih di kawasan luar bandar Sabah.

“Ini hanya akan berlaku dengan adanya kolaborasi institusi pengajian tinggi seperti UMS yang telah memikirkan apa teknologi sesuai untuk kawasan-kawasan mengikut topografi dan bentuk muka buminya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemindahan Ilmu Projek Bekalan Air Graviti Bersih, di Kampung Rungus Nahaba, Kiulu pada Khamis.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Wakil Rakyat Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Projek, Dr. Gaim James Lunkapis, Kolaborator Pembinaan Kiawayan Sdn Bhd, Ir. Joe Primus Kayau, dan Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi Dan Pengkomersilan UMS, Profesor Madya Dr. Jidon Janaun.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Sabah amat menghargai inovasi yang dihasilkan oleh UMS.

“Tahniah kepada pihak UMS kerana berjaya menghasilkan inovasi bekalan air dengan menggunakan teknologi hijau, dan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) kerana menitik beratkan keperluan air bersih di kawasan luar bandar Sabah,” katanya.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, secara konvensionalnya, Kerajaan akan menyediakan bekalan air daripada loji dan disalurkan ke kawasan perkampungan, tetapi oleh kerana tempat itu jauh, maka ianya akan menghadapi kekangan peruntukan dana.

“Jadi apa yang terjadi hari ini di Kampung Rungus Nahaba ialah gabungan daripada semua komponen iaitu dari pihak UMS, Kerajaan Persekutuan, penglibatan komuniti kampung dan Kerajaan Negeri melalui perwakilan daripada Pejabat Daerah untuk mempermudahkan pelaksanaan ini.

“Hari ini memperlihatkan satu kejayaan yang boleh dibanggakan kerana Kampung Rungus Nahaba kini menikmati bekalan air bersih dengan peruntukan minima daripada gabungan teknologi, penglibatan masyarakat kampung dan syarikat yang mengadakan CSR,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya perkongsian pintar tersebut, maka masalah bekalan air bersih termasuklah di kawasan luar bandar akan dapat diatasi.

Terdahulu, Joniston menasihati masyarakat kampung untuk terus memelihara sumber air graviti tersebut dan sentiasa menjaga tadahan air supaya tidak dicemari.

Untuk rekod, projek tersebut disiapkan hasil gabungan tenaga kerja MOSTI melalui MySI-Malaysian Social Innovation) UMS, komuniti Kampung Rungus Nahaba sendiri, dan Syarikat Pembinaan Kiawayan Sdn Bhd, yang merupakan rakan kolaborasi UMS.

Projek Bekalan Air Bersih tersebut dimulakan pada Oktober 2020 dan beroperasi sepenuhnya sejak Julai 2021 lalu.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top