PERKIS Lancar Tabung Kemanusiaan Palestin Esok

lajim-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS) bakal melancarkan ‘Tabung Kemanusiaan Palestin’ pada Khamis ini (esok) sebagai usaha membantu rakyat Palestin di Aqsa dan Gaza yang terkesan akibat serangan daripada tentera Zionis.

Pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin itu akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Pusat Perdagangan Antarabangsa Sabah (SICC).

Presiden PERKIS, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin berkata, pelancaran tabung berkenaan pada Khamis nanti akan turut dihadiri barisan pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang sepakat dalam membantu rakyat Palestin.

Jelas beliau, orang ramai khususnya rakyat di negeri Sabah yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi ‘Tabung Kemanusiaan Palestin’ yang akan dilancarkan Hajiji nanti.

“Butiran lanjut akan dikongsikan nanti pada hari pelancaran bagi memudahkan orang ramai menyumbang bagi membantu rakyat Palestin yang terjejas teruk akibat serangan oleh tentera Zionis, ” kata Lajim dalam satu sidang media yang diadakan dipejabatnya di Kepayan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lajim turut menyokong saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyeru komuniti antarabangsa supaya bertindak segera bagi menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

Muhyiddin dalam perutusan khas baru-baru ini, menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap Palestin.

“Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat,” ujar Muhyiddin.

Dalam perutusan sama, Muhyiddin berkata Malaysia, Indonesia dan Brunei akan mengeluarkan kenyataan bersama untuk mengutuk serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin. –UTUSAN BORNEO


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top