LABUAN: Labuan dan tanah besar Sabah akan disambung semula dengan perkhidmatan feri, dengan perkhidmatan antara pulau bebas cukai itu dan Kota Kinabalu dijadualkan beroperasi semula pada 15 Disember, kata Dr Zaliha Mustafa.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu, penyambungan semula perkhidmatan feri ekspres yang dahulunya popular tetapi terpaksa dihentikan selama hampir tiga tahun akibat trafik rendah semasa pandemik Covid-19, dijangka menyelesaikan cabaran lama berkaitan aksesibiliti, selain merancakkan semula sektor pelancongan melalui pakej pelancongan yang menawarkan pengalaman Sabah dan Labuan.
“Kita tidak akan mengabaikan keperluan Labuan untuk aksesibiliti yang lebih baik… usaha ini sangat penting, bukan sahaja untuk komuniti tempatan tetapi juga bagi meningkatkan bilangan pengunjung.
“Konektiviti yang dipertingkatkan ini dijangka menarik lebih ramai pelawat dan merangsang pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” kata beliau dalam satu wawancara eksklusif bersama Bernama sempena setahun menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan bercadang untuk memperluaskan subsidi perjalanan sebanyak 50% yang kini tersedia kepada penumpang dan kenderaan feri roll-on, roll-off kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan feri ekspres, kerana langkah ini akan mengurangkan kos perjalanan bagi pengguna.