PERKESO Salur Lebih RM1 Bilion Untuk Manfaat Rakyat Sabah

hajiji-perleso.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih RM1 bilion disalurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada rakyat Sabah menerusi bantuan dan insentif di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan.

Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bantuan yang disalurkan itu termasuklah insentif kewangan kepada majikan dan pekerja untuk kelangsungan operasi perniagaan.

Selain itu katanya, ia juga membantu majikan mengekalkan pekerja sedia ada dan mengambil pekerja baharu.

“Sehingga kini, PERKESO berjaya mengagihkan sebanyak RM14.6 bilion kepada para majikan dan pekerja di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif kerajaan yang dilaksanakan oleh PERKESO.

“Setakat 2 April, PERKESO juga menempatkan semula seramai 46,971 individu ke alam pekerjaan, manakala jumlah kekosongan jawatan yang didaftarkan majikan pula menjangkau sebanyak 457,753 kekosongan,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di sini hari ini.

Menurutnya, bagi Sabah, setakat 1 April 2021, pekerja aktif yang dilindungi ialah seramai 280,744 orang, manakala majikan aktif yang dilindungi seramai 33,893.

Sementara itu, Hajiji bagi pihak kerajaan negeri menghargai peranan PERKESO dalam menyediakan keselamatan sosial untuk rakyat Sabah.

“Ia membabitkan perlindungan terhadap bencana kerja, keilatan termasuk sebarang kematian dan pemberian elaun kehilangan pekerjaan, insentif yuran latihan, mobiliti dan program penempatan pekerjaan.

“Faedah PERKESO juga menjadi pengganti pendapatan bagi mereka yang hilang upaya, ilat, kematian, ataupun kehilangan pekerjaan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Negeri Sabah Dr. Mohd Ali Hindia; Pengurus Cawangan Penguatkuasa PERKESO  Negeri Sabah Abd Rahman Ramli dan Ketua Cawangan Perhubungan Awam dan Khidmat Pelanggan PERKESO Negeri Sabah Awang Japar.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top