Perkenal ‘visa khas’ kepada pelabur asing – Masiung

masiung.jpg

Datuk Masiung Banah (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: ADUN Kuanut, Datuk Masiung Banah mencadangkan agar Sabah memperkenalkan ‘visa khas’ kepada pelabur asing bagi menggalakkan mereka membina lebih banyak pangkalan industri di negeri ini.

Beliau berkata, ini adalah sebagai langkah drastik yang perlu diambil bagi meningkatkan ekonomi Sabah.

Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd itu berkata, selain skim ‘visa khas’ Kerajaan Negeri juga boleh menawarkan untuk pengurangan cukai perkhidmatan kepada pelabur asing untuk tempoh masa tertentu.

Menurut beliau, cadangan ini ada kewajarannya bagi membuka ruang lebih luas kepada pelabur dan sektor korporat asing supaya menjadikan Sabah sebagai lubuk emas menerusi pelan pelaburan strategik jangka panjang.

“Kita cadangkan, supaya Kerajaan Negeri menggunakan kuasa autonomi menawarkan syarat permit kediaman kepada pelabur asing antara lima hingga 10 tahun.

“Visa lima tahun memerlukan dana pelaburan bernilai RM700 juta ke bawah manakala bagi visa 10 tahun, RM700 juta ke atas,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa ini pemegang visa warga asing yang bekerja di negara ini hanya boleh dilanjutkan dari setahun ke setahun, tambahnya.

Masiung berkata, jika Kerajaan Sabah bersetuju mengenai cadangan itu, para pelabur dan pemain sektor korporat asing mempunyai keyakinan drastik walaupun berlaku ketidaktentuan politik dalam negara atau negeri.

Katanya, beberapa negara maju yang telahpun terbukti berjaya menarik minat pelabur asing menerusi skim visa khas itu ialah Amerika Syarikat, Ireland, New Zealand dan Sepanyol.

Terbaharu yang melaksanakan skim itu ialah Singapura dan Indonesia, tambahnya. – WARTA ORIENTAL

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top