Perkenal mekanisme cegah salah guna sijil anak negeri, Sabah diberitahu

Johnny-Goh.jpg

Johnny Goh

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Sino Kadazan Dusun Murut Sabah Datuk Johnny Goh menggesa agar sijil anak negeri dikeluarkan semula tetapi berkata, satu mekanisme mesti dibentuk untuk mencegah amalan salah.

Bagaimanapun, Goh berkata, pejabat hal ehwal anak negeri, yang terletak bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, mesti memantau pemberian sijil itu dengan teliti.

“Dengan pejabat hal ehwal anak negeri mengaudit proses pengeluaran sijil anak negeri, potensi amalan salah oleh mahkamah anak negeri dapat dielakkan,” katanya kepada FMT.

Lazimnya, pegawai daerah berfungsi sebagai pihak berkuasa kehakiman tertinggi dalam sistem mahkamah anak negeri, diikuti oleh ketua anak negeri dan daerah.

“Ketua daerah dilantik oleh ahli politik, menyebabkan mereka tunduk kepada ketua politik mereka dan tidak dapat melaksanakan tugas secara bebas serta penuh tanggungjawab,” katanya.

Permohonan mendapatkan sijil anak negeri mesti melalui mahkamah anak negeri, dan proses pengesahan mungkin termasuk temu bual dengan pelbagai pihak, termasuk ketua kampung.

Setelah berpuas hati bahawa semua syarat telah dipenuhi, permohonan diluluskan oleh pegawai daerah dan sijil dikeluarkan oleh mahkamah anak negeri.

“Persatuan meminta kerajaan negeri mengeluarkan sijil anak negeri, yang telah dibekukan sejak 1982,” kata Goh.

Sementara itu, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Datuk Darell Leiking berkata, kerajaan negeri perlu menubuhkan sebuah jabatan hal ehwal anak negeri pada peringkat tempatan untuk berfungsi sebagai semak dan imbang bagi mahkamah anak negeri.

“Kita harus mempunyai pengalaman dan teknologi yang mencukupi untuk memastikan mekanisme yang dapat mencegah penyalahgunaan status anak negeri.

“Ia soal peraturan, pemantauan dan pentadbiran yang betul,” katanya kepada FMT.

Timbalan presiden Warisan itu menekankan keperluan mengembalikan pengeluaran sijil anak negeri kepada anak negeri Sino yang tidak dapat memastikan status,

Tiada anak negeri harus dinafikan status sedemikian, tambahnya.

Bawah peruntukan khas yang diluluskan oleh Tunku Abdul Rahman semasa menjadi perdana menteri, orang yang mengaku sebagai anggota masyarakat Sino-Kadazan Dusun Murut boleh menuntut status anak negeri jika mereka anak kepada ibu atau bapa yang merupakan anak negeri dan hidup dalam komuniti itu.

Pemegang sijil anak negeri boleh menikmati hak istimewa Bumiputera Sabah seperti memperoleh tanah, membuka akaun Amanah Saham Bumiputera dan mendaftar di institusi pengajian tinggi awam. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top