Perkemas jentera parti, tingkatkan kesatuan – Ghulam

Ghulam-Haidar-Gagasan-Kawang.jpg
Kongsi Bersama

PAPAR: Pemimpin akar-umbi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) disaran memperkemas jentera masing-masing bagi memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang merangkap Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata ia penting untuk menentukan jentera parti sentiasa dalam keadaan siap siaga.

Selain itu, beliau mahu pimpinan akar-umbi meningkatkan kerjasama dan bersatu hati dengan rakan parti dalam kerajaan negeri sekarang.

“Kita perlu menyusun jentera dengan baik bagi memastikan parti kuat dan cukup bersedia sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Untuk itu, pimpinan semua peringkat, termasuk di peringkat sayap parti sehingga ke cawangan terus mengukuhkan kesatuan sesama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan pertama Gagasan Rakyat Bahagian Kawang, di sini kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi; Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

Ghulam juga berkata kerjasama baik Gagasan Rakyat dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah mampu membawa kejayaan pada pilihan raya negeri yang akan datang.

“Keyakinan ini berdasarkan penerimaan rakyat yang meningkat terhadap Gagasan Rakyat walaupun baru kira-kira enam bulan dilancarkan,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan GRS tidak mengabaikan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat.

“Sebaliknya, kita akan terus memberi sokongan kuat kepada Kerajaan Pusat sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini penting kerana hubungan negeri-Pusat merupakan `jambatan’ penting yang dapat menjamin kemajuan negeri serta kemakmuran rakyat,” katanya.

 

Sumber: Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top