Perkasakan OKU Tanggungjawab Bersama – Shahelmey

shahelmey-OKU1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Agensi-agensi berkaitan perlu berganding bahu dalam memperkasa golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata golongan OKU juga perlu diberi peluang dalam alam pekerjaan.

“Golongan OKU juga perlu diberi peluang untuk berdikari dalam mencari rezeki tanpa perlu bergantung dengan bantuan orang lain semata-mata.

“Ini satu yang patut kita jadikan inspirasi, jika  mereka boleh kita pasti boleh. Saya menyeru agar lebih banyak agensi lain turut berganding bahu dan sama-sama memperkasa bukan sahaja golongan OKU tetapi juga setiap  lapisan masyarakat.

“Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membolehkan semua rakyat Malaysia mencapai taraf kehidupan yang berkualiti,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika berucap merasmikan Program tanggungjawab korporat sosial (CSR) Memperkasa Usahawan di Kalangan Peserta Program Return To Work (RTW) anjuran PERKESO di Wisma PERKESO Negeri Sabah.

Terdahulu, semasa program tersebut, Shahelmey berkata program RTW ini merupakan komitmen PERKESO dalam membantu golongan OKU.

“PERKESO terus komited dengan mengambil langkah yang lebih bersasar untuk membantu kumpulan yang memerlukan dengan memperkemas sistem penyampaian di semua peringkat.

“Program RTW ini diharap dapat memberikan harapan dan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat Malaysia khususnya penduduk Sabah yang berdaftar dan mencarum di bawah PERKESO,” katanya.

RTW merupakan satu program pemulihan fizikal yang disediakan kepada Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang mengalami hilang upaya akibat kecederan dan penyakit bagi membantu mereka untuk berkerja semula atau berdikari menjana pendapatan.

Semasa program tersebut seramai 30 orang peserta menerima sumbangan berupa wang tunai daripada PERKESO disamping didedahkan dengan taklimat keusahawanan dan taklimat bantuan khas untuk OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top