KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta untuk memperkasakan pembinaan kemudahan asas di Pulau Banggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin berkata, Pulau Banggi belum ada pelan pembangunan yang jelas dan tuntas daripada kerajaan sehingga kini.
“Bukan kerana masyarakatnya tidak celik, tapi dasar pembangunan negeri yang tidak sekata sebelum ini, mungkin kerana tumpuan peruntukan lebih kepada kawasan atau daerah penuh atau bandar-bandar besar.
“Namun kita semua tidak sedar, khazanah alam yang bernilai ada di Pulau Banggi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2025, di Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Selasa.
Beliau berkata, keindahan pulau dan pantainya berpotensi dijadikan sebagai destinasi pelancongan.
Selain itu katanya, Pulau Banggi mempunyai loji air tetapi sumber airnya akan terputus ketika kemarau atau ketika air sungai kering atau ketika bekalan minyak melalui Jabatan Kerja Raya yang dikonsesikan pada syarikat gagal sampai tepat pada masanya.
“Loji yang sedia ada ketika ini hanya dapat menyalurkan air paip ke 23 kampung, manakala 24 kampung lagi belum ada paip air tidak termasuk empat pulau berpenghuni lain seperti Pulau Balambangan yang ada empat kampung, Pulau Sibogo, Pulau Tanjung Manawali, Pulau Mandi Darah dan Pulau Tigabu.
“Dari sudut bekalan elektrik, hanya sebilangan kampung sahaja yang mendapat bekalan kemudahan ini, manakala separuh lagi belum menerimanya,” katanya.
— Yap Siong Han/Penerangan Gagasan Rakyat