Perjuangan Sabah IC Dalam Perhatian Kerajaan Sabah, Persekutuan

robert.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perjuangan untuk merealisasikan pengeluaran Kad Pengenalan Sabah (Sabah IC) pada ketika ini sudah sampai pada perhatian Kerajaan Sabah dan Persekutuan.

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata perjuangan mengeluarkan Sabah IC telah mencapai perkembangan memberangsangkan sejak mula disuarakan lebih 10 tahun lalu.

“Pada awal mula dicetuskan, perjuangan mengeluarkan Sabah IC sekadar disuarakan melalui majlis-majlis Borneo Tea Party (BTP) anjuran United Borneo Front (UBF),” kata beliau.

Robert menambah, setelah menjadi sebahagian kerajaan di Sabah dan Persekutuan Malaysia, usaha mengeluarkan Sabah IC kepada rakyat asal Sabah mula dibincangkan dalam pertemuan-pertemuan rasmi.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya menegaskan tiada rakyat Sabah akan teraniaya dengan pengeluaran Sabah IC.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor itu, Sabah IC bertujuan untuk membezakan rakyat asal Sabah dengan pemegang MyKad menggunakan dokumen palsu dan melalui IC Project.

Jelas Robert lagi, terakhir ini, perjuangan mengeluarkan Sabah IC sudah dibawa ke dalam perbahasan Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam usaha mengimplementasi pembelaan hak-hak perlembagaan rakyat asal Sabah.

Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan telah membahaskan Sabah IC di Parlimen manakala Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee membahaskan Sabah IC dalam persidangan DUN Sabah.

“Pembahasan tentang Sabah IC di Parlimen serta DUN menunjukkan suatu perkembangan jauh ke hadapan sebagai kesinambungan dari pergerakan tanpa jemu selama ini,” kata Robert.

Kata Robert, pembahasan Sabah IC dalam Parlimen serta DUN Sabah sudah mencapai peringkat konstitusi yang mana sebelum ini hanya digerakkan dalam BTP UBF, ‘Black Sunday’ dan kempen pilihanraya kecil Kimanis.

Robert menegaskan, STAR bersama rakan-rakan gabungan parti akan terus menggerakkan pelbagai pendekatan untuk merealisasikan pengeluaran Sabah IC. – Sabah360online

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top