KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Julita Majungki berkata agenda membela nasib rakyat dan negeri Sabah diteruskan oleh parti itu.
Katanya sebagai parti tempatan tertua di Sabah, PBS tidak pernah keluar daripada landasan perjuangan asalnya dan ini akan diteruskan demi mempertahan serta melindungi hak rakyat dan negeri Sabah.
“Peralihan kepimpinan presiden parti daripada Tan Sri Joseph Pairin Kitingan kepada Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berlaku dalam suasana yang aman dan semangat yang tinggi.
“Gaya dan pendekatan kepimpinan kedua-dua presiden tersebut mungkin berbeza tetapi ini tidak mengubah sasaran dan objektif yang ingin dicapai oleh parti untuk rakyat dan negeri Sabah.
“Konsistensi dan amalan kepimpinan sederhana serta praktikal adalah darah daging PBS, sesuai dengan imejnya sebagai parti berbilang kaum di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kemasukan bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Francis Lawrance ke Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata PBS dan rakyat Sabah berbangga dan menyanjung tinggi perjuangan yang dimulakan oleh Pairin.
“Melalui perjuangan yang dimulakan oleh Pairin pada tahun 1985, maka kita dapat menyudahi perjalanan mencabar itu dengan kejayaan meminda Perlembagaan Persekutuan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 2022.
“Dr. Maximus sebagai menteri yang menjaga Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (HESS) memain peranan langsung dalam proses tersebut bersama pasukan Sabah dan Sarawak dalam Majlis Khas MA63 yang ditubuhkan di bawah penyelarasan langsung Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.
“Kejayaan ini besar dan implikasinya mendalam kepada Sabah dan Sarawak serta bukti keupayaan Presiden PBS itu meneruskan agenda rakyat dan negeri Sabah selaku Menteri BHESS dan rakan dalam Kerajaan GRS di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata alasan yang disebut oleh Francis bahawa perjuangan PBS sudah tersasar adalah tidak tepat sama sekali.
“Kepimpinan PBS tidak memandang remeh tindakan ahli keluar parti malah sentiasa menekankan sikap setia, sabar dan bersatu dalam kalangan ahli dan penyokong.
“Tetapi kita tidak dapat menghalang mana-mana ahli yang tidak lagi menghayati perjuangan murni PBS untuk berbuat demikian.
“Sebagai pihak kepimpinan parti saya berharap Francis dapat mencapai hasratnya bersama parti yang baharu dan selamat maju jaya,” katanya. – Utusan Borneo