Perjuangan Lima Dekad Tuntut Semakan Kewangan, Geran Tahunan Sabah Berjaya

maximus.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Tawaran yang lebih baik untuk Sabah dan Sarawak sedang dibincang dengan Kerajaan melalui Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) mengenai Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perjuangan lima dekad menuntut semakan kewangan dan geran tahunan untuk negeri Sabah akhirnya tercapai, hasil perbincangan “ramah dan wajar” antara negeri itu dan Kementerian Kewangan Persekutuan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr .Maximus Ongkili berkata, kedua-dua Kementerian Kewangan Persekutuan dan Negeri telah memberi taklimat kepada Kabinet masing-masing hari ini mengenai hasil perundingan yang dicapai semasa mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama mengenai semakan kewangan dan geran tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan antara kementerian kewangan Persekutuan dan Negeri, dan difahamkan kedua-dua pihak telah menyokong kesemua resolusi.

Dalam ucapan tahniah kepada kedua-dua pihak atas perbincangan secara mesra dan waras, walaupun kadang-kala wujud perselisihan terhadap tuntutan undang-undang dan hak perlembagaan masing-masing, Dr. Maximus berkata, beliau amat berbangga dengan Kerajaan Sabah atas kesungguhan dan kerja keras dalam memperjuangkan hak negeri dan rakyat, walaupun menunggu selama lima dekad.

“Sabah akan menerima peningkatan hampir lima kali ganda dalam geran tahunan, iaitu lebih dua kali ganda jumlah yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada kerajaan pimpinan Parti Warisan.

“Ini membuktikan keupayaan dan kapasiti Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mempertahankan hak Sabah dan memelihara hubungan baik persekutuan-negeri bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat Sabah,” kata Dr. Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

Beliau yang turut hadir di mesyuarat pada Isnin lalu di Kota Kinabalu bagi pihak Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) mendedahkan formula geran baharu itu akan ditandatangani dan dirasmikan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada mesyuarat MKMA63 seterusnya, yang dijadualkan awal bulan depan.

Mesyuarat JCC dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di pihak Kerajaan Persekutuan, manakala Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengetuai bagi pihak Sabah, yang turut disertai daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Peguam Negara Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, penasihat undang-undang dan pegawai kanan kewangan. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top