KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan semalam menegaskan Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) tidak melibatkan penjualan atau cagaran tanah hutan seperti yang didakwa pemimpin pembangkang.
Beliau, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, berkata sebaliknya NCA adalah perjanjian yang melibatkan perdagangan kredit karbon yang akan memanfaatkan pemuliharaan hutan dan memberi hasil kepada kerajaan Sabah untuk membangunkan negeri ini.
“NCA adalah projek melindungi hutan kita untuk menjana pendapatan tanpa menebang satu pokok dan ia mendapat kelulusan kabinet negeri, dan tidak perlu dibawa dan dibentangkan di DUN (Dewan Undangan Negeri) kerana kita sudah ada perundangan. dan keputusan mengenai perkara ini di bawah kerajaan negeri.
“Buat masa ini, terdapat hasil hutan sebanyak RM110 juta tetapi hutan musnah akibat pembalakan. Daripada menebang kayu bernilai RM110 juta, tetapi dengan NCA, kita boleh mendapat lebih RM1 bilion. Oleh itu, manakah yang lebih baik?” katanya dalam satu kenyataan menerusi rakaman video semalam.
Sebelum ini, Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga ketua pembangkang negeri, mendakwa perjanjian NCA selama 100 tahun itu menyebabkan dua juta hektar hutan di Sabah “diserahkan” kepada syarikat asing yang berpangkalan di Singapura.
Perdagangan kredit karbon adalah sistem berasaskan pasaran bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global, terutamanya karbon dioksida, dengan mewujudkan insentif kewangan untuk berbuat demikian.
Jeffrey berkata hutan di Sabah dilindungi di bawah undang-undang seperti Enakmen Hutan 1968 dengan pemantauan ketat Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), justeru, tiada perkara yang membolehkan hutan negeri dimusnahkan sewenang-wenangnya.
“Ada perancangan supaya rakyat kita, orang asal kita mendapat manfaat termasuk penduduk kampung mempunyai tanah, kita akan mendaftarkan mereka supaya mereka juga boleh menikmati program NCA ini,” katanya.
Oleh itu, katanya, pemimpin politik di negeri ini digesa berhenti menggunakan isu NCA untuk meraih sokongan politik dengan menyebarkan maklumat tidak benar, sebaliknya bersama-sama dengan kerajaan negeri membangunkan Sabah demi faedah rakyat negeri ini. – Bernama