Perincikan peruntukan RM16 bilion yang diumumkan

Chin-Shu-Ying.jpg

Datuk Chin Shu Ying

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perincikan peruntukan RM16 bilion yang diumumkan kepada Sabah demi menjelaskan isu berkenaan kepada rakyat negeri ini.

Setiausaha Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Shu Ying berkata, pengumuman yang dilakukan Perdana Menteri di sini baru-baru ini adalah sesuatu yang baik, tetapi ia juga telah mewujudkan kekeliruan.

Katanya, peruntukan itu tidak diutarakan dalam Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri dan Ketua Menteri Sabah turut merupakan ahli dalam jawatankuasa terbabit.

“Selain itu, Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut disertai Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan, juga tidak mengetahui mengenai peruntukan RM16 bilion itu.

“Oleh itu, Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab untuk memperincikan kepada rakyat Sabah mengenai peruntukan RM16 bilion itu,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau menegaskan kerajaan Persekutuan harus memenuhi tuntutan dalam MA63 untuk memastikan Sabah menerima 40 peratus hasil yang layak diterima negeri ini.

“Peruntukan ini tidak seharusnya dilepas pandang oleh kerajaan Pusat, Sabah seharusnya mempunyai autonomi penuh bagi menggunakan dana berkenaan.

“Peruntukan Persekutuan kepada Sabah sudah meningkat dan mendatangkan kesan positif dalam pembangunan, tetapi ia tidak menyelesaikan isu dalam autonomi kewangan dan perkongsian hasil yang sama rata.

“Rakyat Sabah berhak mendapat ketelusan, penghormatan terhadap perjanjian bersejarah dan pemerkasaan kewangan,” katanya.

Katanya, adalah penting untuk membezakan peruntukan khas dan peruntukan persekutuan.

Menurutnya, peruntukan persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri adalah untuk perbelanjaan operasi khusus di Sabah yang menjurus kepada pelbagai program serta projek dibangunkan di negeri ini.

“Peruntukan ini tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri…kerajaan negeri juga tiada autonomi untuk menggunakan dana itu.

“Kerajaan Persekutuan masih mengawal penuh dan memantau peruntukan itu, sekali gus membantutkan keupayaan kerajaan negeri untuk mengatasi keperluan yang lebih utama,” katanya.

Chin berkata, hasil 40 peratus yang tertera dalam MA63 adalah geran khas yang seharusnya disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Katanya, geran berkenaan adalah mewakili bahagian hasil yang diperoleh dari Sabah dan bertujuan digunakan oleh kerajaan negeri mengikut budi bicaranya sendiri.

Beliau berkata, ini adalah komponen asas bagi autonomi kewangan dalam penentuan nasib Sabah sendiri yang membolehkan negeri ini melabur dalam infrastruktur asas, perkhidmatan awam dan projek pembangunan yang diperlukan.

Chin mengingatkan Perdana Menteri agar tidak melemahkan kebebasan kewangan rakyat Sabah dan hak mereka terhadap pembahagian hasil yang adil.

“Kita mesti menghormati tuntutan dalam MA63 dan kerajaan Persekutuan harus memastikan MA63 dipenuhi,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top