Perikatan Parti Berasaskan Tempatan Perlu Dibentuk Untuk Perjuang Hak Sabah Dengan Lebih Berkesan – LDP

chin-su-phin-LDP.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokrat (LDP) Datuk Chin Su Phin mengulangi gesaannya supaya satu pakatan dibentuk oleh parti berasaskan tempatan bagi memperjuangkan hak Sabah dengan lebih berkesan.

Beliau berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini telah menghantar mesej  yang jelas bahawa tuntutan hanya boleh dipenuhi melalui gabungan parti tempatan yang kukuh.

“Saya percaya kita hanya akan dapat memastikan kepentingan yang sah dengan menyatukan semua parti tempatan.

“Sudah tiba masanya pemimpin Sabah mengenepikan perbezaan dan agenda peribadi kita yang hanya akan menjejaskan masa depan rakyat Sabah.

“Mari kita duduk dan membincangkan pembentukan pakatan politik berasaskan Sabah,” kata Chin yang  membuat seruan itu dalam perutusan Tahun Baharu Cinanya.

Chin percaya bahawa kerajaan persekutuan akan akur untuk memulihkan kepentingan sah rakyat Sabah dan Sarawak dengan pembentukan pakatan parti berasaskan tempatan yang kukuh.

Tanpa barisan yang bersatu hari, beliau berkata Sabah dan Sarawak perlu terus ‘merayu’ hak mereka dikembalikan.

Sementara itu, Chin meluahkan rasa kecewanya terhadap pemimpin politik di Semenanjung Malaysia yang taksub dengan perebutan kuasa sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan, ketika seluruh negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata ekstremisme sekali lagi menimbulkan keburukan akibat perebutan kuasa.

Chin berkata sektor ekonomi secara keseluruhan berdepan dengan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini berikutan serangan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Pemilik perniagaan dan pekerja sama-sama terjejas oleh wabak itu.”

Namun begitu, beliau berkata petugas barisan hadapan perubatan di negara ini tetap tabah dalam memerangi Covid-19.

“Walaupun virus itu tidak 100 peratus dihapuskan, petugas barisan hadapan perubatan patut dihormati sepenuhnya atas pengorbanan dan komitmen mereka dalam mengawal wabak dengan lebih baik daripada banyak negara Barat yang lain.”

Dengan kerjasama rapat antara Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, beliau berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP) telah mencapai kemajuan cemerlang dalam masa yang singkat, di mana 97 peratus daripada populasi dewasa dan 80 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah disuntik sehingga kini.

“Malaysia antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi terpantas dalam kalangan remaja di dunia.

“Ini adalah hasil usaha bersepadu antara kerajaan dan rakyat di seluruh negara.”

Chin berkata pandemik Covid-19 global tidak akan hilang dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Justeru, beliau berkata rakyat perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan untuk mencegah penularan virus itu.

“Dalam menghadapi bencana global, semua orang tanpa mengira latar belakang, status dan kedudukan mereka.

“Kita semua memainkan peranan penting dalam memastikan negara kita dapat mengatasi halangan untuk ekonomi pulih selepas wabak.”


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top