KOTA KINABALU: Satu perhimpunan sempena Kaamatan dipercayai telah mencetuskan kluster baharu Covid-19 di pinggir ibu negeri Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata 27 kes baharu dikesan di Kampung Kionsom Kecil di Inanam, dekat sini semalam.
“Perhimpunan Kaamatan itu disyaki telah mencetuskan kluster baharu di Kampung Kionsom Kecil, seterusnya menambah 27 kes baharu kepada 60 kes yang dilaporkan di Kota Kinabalu hari ini,” katanya di Twitter pada Rabu.
Pihak berkuasa kelmarin mengesan 13 kes positif selepas menyaring 36 individu di kampung itu, yang akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai hari ini.
Masidi yang juga jurucakap Covid-19 rasmi negeri berkata, Sabah merekodkan 184 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu semalam, menjadikan keseluruhan kes di negeri itu 66,730.
Antara daerah yang menyumbang kepada jumlah jangkitan baharu adalah Tawau (33 kes), Kunak (15) dan Penampang (12).
Menurutnya, 13 daerah menunjukkan hanya jangkitan satu angka, manakala 10 lagi daerah tidak melaporkan jangkitan baharu.