‘Perangai Lama’ UMNO Jejaskan Imej PM – Alwi

alwi-ketereh.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BHARU: Para pemimpin UMNO diingatkan supaya tidak merosakkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mengulangi ‘perangai lama’ mereka yang tidak disenangi rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad berkata, kunjungan Perdana Menteri ke lokasi banjir di Kedah semalam dengan diiringi ‘segerombolan’ pengikut menunjukkan perangai lama tersebut sudah kembali.

“Di Kedah sampai berpuluh buah kereta ikut Perdana Menteri, dalam kapal terbang lagi. Hendak ikut itu bagus tetapi ini imej lama.

“Imej ini yang menyebabkan orang marah dengan kita, jadi berpada-pada, boleh pergi tapi tak payah menunjuk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini pada Selasa.

Gambar-gambar sekitar lawatan Ismail Sabri di kawasan dilanda banjir di Kuala Muda dan Yan, Kedah kelmarin memaparkan beliau diiringi pemimpin UMNO sejak dalam kapal terbang hingga ke lokasi sehingga mengundang kecaman rakyat.

Turut dikritik, kewujudan papan iklan gergasi mengalu-alukan kehadiran Ismail Sabri dan ucapan tahniah kepada beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan yang dinaikkan di kawasan bencana.

Mengulas lanjut, Md. Alwi berkata, teguran tersebut bukan kerana beliau cemburu, sebaliknya kerana prihatin dan mahu semua pemimpin dan penyokong UMNO berganding bahu membantu Perdana Menteri membina imej yang baik dan disenangi rakyat.

“Orang akan kata, UMNO berkuasa macam itulah. Itu yang saya tegur sikit, bukan saya jealous, memang kita semua kena meraikan PM, tetapi bukan cara macam itu. Ini kerumun sampai begitu sekali.

“Jagalah imej Perdana Menteri daripada UMNO ini jika kita hendak bertahan lama,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu. – Utusan

 

 

 


Kongsi Bersama

1 Reply to “‘Perangai Lama’ UMNO Jejaskan Imej PM – Alwi”

  1. Ismail Ali says:

    Sikap pemimpin umno memang tidak berubah suka berlagak menunjuk2 kekuasaan dan kemewahan masuk kg pun berpuluh kereta mewah, sedangkan rakyat kedah dalam matapetaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top