Peranan Media Penting Untuk Sampaikan Infomasi Tepat Kepada Rakyat – Bung Moktar

bung-rtm.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU:Kerajaan negeri  menghargai jasa dan sumbangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media lain yang berperanan sebagai medium penyampaian berita dan informasi yang berkesan untuk membantu usaha pembangunan negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dalam kecanggihan dunia tanpa sempadan pelbagai berita palsu disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya di media sosial yang memburuk-burukan kerajaan dengan menyebarkan  berita palsu untuk meracuni pemikiran rakyat.

“Sebagai media rasmi kerajaan kita menghargai usaha RTM menyiarkan penafian berita palsu termasuk menggunakan 24 bahasa menerusi platform-platform perkongsian maklumat yang ada, “ katanya ketika ditemui selepas mengagih-agihkan buah kurma dan bubur lambuk sumbangan beliau kepada kakitangan RTM di Kompleks Bersepadu KKMM Kepayan dekat sini kemarin.

Sumbangan tersebut diterima oleh Pengarah Penyiaran Kawasan Sabah Norain Haji Bakir yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dan sebahagian kakitangan RTM Sabah.

Mengulas lanjut Bung yang juga Menteri Kerja Raya mengakui peranan penting media khususnya RTM dalam menyampaikan  agenda pembangunan kerajaan negeri kepada rakyat di peringkat akar umbi

“Kerajaan Negeri mempunyai pelbagai dasar dan program untuk rakyat misalnya  Koridor Pembangunan Sabah, Belanjawan Negeri dan yang terkini, Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) atau dikenali Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025 yang perlu diketahui oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Bung berkata, maklumat-maklumat berkaitan halatuju pelan terbabit perlu diketahui oleh rakyat di negeri ini sekali gus membantu kerajaan menyampaikan agenda dirancang.

Dalam pada itu Bung yang juga wakil rakyat DUN Lamag berkata ketika negara berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19,RTM turut memainkan peranan sebagai penyiar utama yang diyakini dalam menyiarkan pengumuman rasmi perkembangan semasa wabak berkenaan tanpa mengira masa dan situasi, sekali gus mengelakkan penyebaran berita palsu yang mengelirukan rakyat.

“Peranan dan sumbangan RTM khususnya kakitangan yang turun ke lapangan untuk mendapatan maklumat terkini mengenai perkembangan Covid-19 , amat kita sanjung tinggi walaupun berhadapan dengan rasiko demi mendapatkan maklumat yang tepat,pentas dan terkini,” katanya.

Mengulas program tersebut Bung berkata ia sebagai penghargaan beliau kepada seluruh kakitangan KKMM yang terpaksa bertugas dalam susana yang penuh cabaran ketika ini di mana selain cabaran berpuasa mereka juga turut berhadapan dengan pandemik Covid-19.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top