Peranan Ibu Bapa Penting Dalam Jayakan Pembelajaran Secara Atas Talian – SSK

SSK-4.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Penglibatan ibu bapa dalam proses pembelajaran secara atas talian bukan sahaja membantu para guru supaya lebih fokus kepada aspek pengajaran tetapi juga memberi semangat serta motivasi kepada anak-anak dalam pembelajaran.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata kesediaan ibu bapa untuk terus berdamping kepada anak-anak dalam memberi fokus kepada pembelajaran secara tidak lansung dapat membantu menangani isu keciciran pembelajaran susulan Pandemik COvid 19 yang melanda negara ini.

“Oleh itu, saya berharap ibu bapa terus memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak untuk terus belajar dan melipatgandakan usaha bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Keibubapaan anjuran KEMAS bagi DUN Usukan secara maya pada Selasa.

Dalam konteks Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) , beliau berkata situasi penularan wabak Covid 19 telah merubah sesi persekolahan dan kini berlangsung dengan norma pendidikan yang baru yang sedikit sebanyak memberi cabaran dalam proses pembelajaran anak- anak yang sedang bersekolah.

“Sesi Pengajaran dan Pembelajaran secara bersemuka sebelum ini telah berubah kepada Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah.

“Saya percaya dengan perubahan ini secara tidak langsung telah mengubah suasana pembelajaran dan penerimaan seseorang pelajar apabila mengikuti setiap kelas yang dilaksanakan oleh guru,” katanya.

Dalam hal ini, Salleh berkata peranan guru amat penting dalam menjayakan PDPR meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Guru-guru berusaha mengikut kemampuan mereka untuk mengajar anak-anak murid walaupun tidak bersemuka tetapi tidaklah semudah seperti yang dirasakan.

“Subjek yang diajar juga mempunyai limitasi tertentu berbeza dengan cara pengajaran normal seseorang guru,” katanya. – Jesselton Times


Kongsi Bersama

1 Reply to “Peranan Ibu Bapa Penting Dalam Jayakan Pembelajaran Secara Atas Talian – SSK”

  1. adi says:

    ibu bapa adalah hero kepada anak-anak.PDPR hanya akan berlaku jika ibu bapa jika ada sokongan daripada ibu bapa.Ibu bapa juga perlu pandai membahagikan masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top