LABUAN: Peralihan kepimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebelum pilihan raya tidak akan mengganggu fokus parti untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, peralihan kepimpinan adalah perkara yang biasa dalam mana-mana parti politik jadi, tidak kisah jika ia dilakukan sebelum ataupun selepas pilihan raya.
Beliau tidak melihat peralihan kepimpinan sebagai satu masalah untuk UPKO memenangi PRU.
“Mungkin peralihan kepimpinan dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap UPKO dan dapat menambah peluang calon-calon parti ini memenangi pilihan raya.
“Malah, dalam perlembagaan parti dinyatakan secara jelas bahawa pemilihan semua jawatan termasuk Presiden harus diadakan semasa Persidangan Tritahunan diadakan.
“Pendirian saya mudah. Jika bahagian lain mahu mempertimbangkan saya untuk mana-mana jawatan dalam parti, bahagian tersebut haruslah melihat kepada rekod kepimpinan saya di Kota Belud, khasnya di Kadamaian,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama UPKO Labuan, kelmarin.
Menurut Ewon, parti itu hanya akan menjadi progresif jika menghormati kehendak majoriti ahli dalam membuat keputusan berkaitan hala tuju parti.
“Apabila parti ini dijenamakan semula, ia perlu menonjolkan budaya progresif dan itu akan dapat dicapai sekiranya kehendak majoriti pemimpin dan anggota parti dihormati.
“Hala tuju parti tidak boleh diputuskan oleh satu orang sahaja atau satu bahagian sahaja kerana parti ini milik semua ahli parti.
“Untuk kita benar-benar mahu menerajui perjuangan rakyat, kita mesti bermula dengan menghormati kehendak majoriti dalam parti,” katanya.
Menurut beliau, UPKO Kota Belud berada pada landasan yang tepat susulan peralihan kepimpinan drastik yang dilakukan pada tahun 2013. Peralihan kepimpinan itulah yang meningkatkan kekuatan parti di bahagian ini.
Bagi UPKO Labuan pula, Ewon mengalu-alukan kepimpinan baharu yang diterajui oleh Macqueel George.
“Saya menghargai setiap sokongan daripada peringkat bahagian. Saya juga menghormati bahagian-bahagian yang belum bersedia memberi sokongan pada kali ini,” ujarnya.
Tambah beliau, UPKO di peringkat bahagian harus maklum bahawa penggal Parlimen akan berakhir pada tahun hadapan, disusuli pula dengan penggal DUN yang akan berakhir pada tahun tahun 2025.
Selepas PRU-15 ini, Sabah akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali lagi.
“Peralihan itu bukan satu isu. PRU dan PRN kini berasingan. Jadi tidak, akan ada masa yang sesuai jika pemilihan parti dikaitkan dengan pilihan raya. Isu sebenar adalah sama ada kita berupaya menghormati kehendak majoriti atau tidak,” katanya.
Pada Ahad lalu, Pemuda UPKO Tuaran mengemukakan usul semasa mesyuarat agung tritahunan bahagian supaya peralihan kepimpinan parti hanya dibuat selepas PRU-15. Usul tersebut turut diluluskan secara sebulat suara oleh semua pemimpin bahagian.