KOTA KINABALU: Komuniti maritim khususnya di Sabah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada berikutan negara sedang dalam fasa peralihan monsun, kata Pengarah Maritim Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini berada dalam fasa tersebut bermula 3 Oktober lepas hingga November menyebabkan kejadian hujan serta ribut petir yang lebih kerap terutamanya di kawasan timur Sabah.
Beliau berkata ini disusuli dengan Monsun Timur Laut yang akan bermula pada November ini dan dijangka berakhir pada Mac tahun depan menyebabkan air pasang besar serta laut bergelora.
“Kawasan timur Sabah merupakan antara kawasan yang dijangka bakal terkesan dengan keadaan tersebut. Berdasarkan ramalan kaji cuaca mendapati seluruh bahagian di Sabah dijangka menerima taburan hujan pada paras purata.
“Ini kecuali di Kudat dan Sandakan, taburan hujan akan sedikit melebihi paras purata pada November dan Disember ini,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA