LABUAN: Jabatan Perikanan Labuan kelmarin mengesahkan sampel air yang diambil dari perairan Labuan susulan fenomena air pasang merah di Sabah, kini bebas daripada sel pyrodinium bahamense var. compressum (dinoflagelat) yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia.
Pengarahnya Faizal Ibrahim Suhaili lokasi mengambilan sampel air dilakukan di sekitar Batu Manikar, Tanjung Aru dan Lubok Temiang.
Beliau berkata pihak jabatan memantau fenomena itu sejak air pasang merah dikesan pada 16 Feb lepas di sekitar perairan Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah.
Pemantauan dan penilaian juga dilakukan terhadap sampel air yang diambil dari kawasan Tanjung Kubong dan Rancha-Rancha.
“Setakat ini, kita telah melakukan yang terbaik untuk memantau keadaan tetapi orang ramai perlu dinasihatkan terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan membersihkan makanan laut dengan teliti sebelum memakannya.
Jabatan Perikanan Sabah pada 18 Feb mengeluarkan notis Amaran Fenomena Air Pasang Merah berikutan penemuan alga air pasang merah di beberapa perairan pantai sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran.
Kes fenomena air pasang merah dilaporkan di Labuan pada 2015 membabitkan dua wanita di Kg Sg Miri berusia 59 dan 36 tahun, yang diberi rawatan sebagaivpesakit luar di Hospital Labuan selepas mereka disahkan menghidap keracunan kerang-kerangan paralitik (PSP).
Pasang merah ialah bunga alga berbahaya (HAB) yang terjadi di sepanjang kawasan pantai, dan ia terhasil daripada pengumpulan besar mikroorganisma akuatik, seperti protozoa dan alga unisel.
Air pasang merah dinamakan sedemikian selepas warna kemerahan dihasilkan plankton bertoksin dan hidupan laut tertentu yang memakan plankton tercemar sekali gus menyebabkan kematian di Sabah pada awal 1980-an.
Toksin ini boleh membunuh ikan, kerang-kerangan berbahaya untuk dimakan, dan menyebabkan udara di sekeliling sukar bernafas untuk manusia dan haiwan. -BERNAMA