Penyu Hijau Tanpa Kepala, Ekor Ditemukan Mati Di Pantai Labuan

penyu-labuan.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Seekor penyu hijau berukuran 1.16 meter ditemukan mati di Pantai Layang-Layangan pada Selasa tanpa kepala dan ekor.

Bangkai penyu betina yang merupakan spesies penyu laut paling diancam kepupusan itu, ditemukan oleh penduduk kampung dan kanak-kanak yang bermain di pantai pada kira-kira jam 9 pagi.

Penemuan itu dilaporkan kepada wartawan Bernama Jailani Hasan yang kemudian menghubungi Jabatan Perikanan pada jam 10.24 pagi.

Ketua cawangan taman marin dan pengurusan sumber Jabatan Perikanan Labuan, Vanessa Caroline Lee yang tiba di tempat kejadian berkata, ini merupakan penemuan kedua selepas bangkai penyu Hawksbill (Eretmochelys imbricata) ditemukan mati di Pantai Chimney pada Isnin.

“Ini merupakan bangkai penyu paling besar yang pernah kita temukan terdampar di pantai ini. Kami akan membuat laporan polis bagi siasatan lanjut kerana kemungkinan kematian haiwan tersebut disebabkan perbuatan manusia,” katanya.

Beliau berkata, sebaik kertas siasatan dibuka, beliau akan meminta orang ramai dan nelayan supaya menyalurkan sebarang maklumat yang berkaitan ke jabatannya.

Badan dan sirip penyu tersebut masih utuh, menurut jurugambar Bernama Muqtadir Halim.

“Sedih melihat hidupan laut yang cantik dan besar ini terdampar mati di pantai. Haiwan ini mungkin telah dirempuh kapal di tengah laut atau disebabkan perbuatan manusia,” katanya.

Kali terakhir penyu hijau ditemukan mati pada 9 Februari 2019 di Pantai Batu Pohon, bersebelahan Pantai Layang-Layangan.

Diklasifikasikan sebagai haiwan yang diancam kepupusan, penyu hijau terancam akibat akitiviti pengambilan telur, pemburuan, terperangkap dalam peralatan menangkap ikan dan kehilangan kawasan pantai tempat bertelur. – Bernama

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top