KOTA KINABALU: ADUN Tanjung Aru Datuk Junz Wong dan penyewa flat Tanjung Aru meminta Lembaga Perumahan dan Kemajuan Bandar (LPPB) Sabah menunjukkan laporan penilaian struktur bagi membuktikan rumah pangsa itu tidak selamat untuk didiami.
Mereka juga meminta LPPB mengadakan dialog dengan penyewa.
Junz mendakwa LPPB tidak berkongsi keputusan penilaian keselamatan bangunan dan sehingga kini, tidak melakukan sebarang percubaan untuk berdialog dengan penyewa flat Tanjung Aru.
Beliau juga berkata beliau tidak tahu apa yang melengahkan LPPB untuk mengadakan dialog dengan penyewa terbabit.
“Sekiranya syarat untuk membuat laporan umum dan mengadakan dialog dengan penyewa tidak dipenuhi, kami tidak akan berganjak,” katanya.
Junz menambah, jika laporan itu disediakan kepada penyewa terbabit, dia akan memanggil seorang jurutera untuk menjalankan kajian struktur di rumah pangsa Tanjung Aru jika benar ia tidak selamat.
Beliau juga mendakwa telah berkomunikasi dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengenai nasib penyewa yang telah diarah mengosongkan unit rumah masing-masing dan Masidi memberitahunya “rancangan pembangunan berkenaan tanah masih jauh lagi dan masih banyak perkara yang perlu diselesaikan.”
“Menteri tidak mengarahkan penyewa untuk berpindah,” dakwa Junz semasa pertemuan dengan penyewa yang diadakan di tapak itu pada Khamis.
Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada media, Ketua Jawatankuasa Tindakan Khas penyewa rumah pangsa Tanjung Aru, Dewi Awang berkata pelbagai usaha telah dilakukan bagi menggesa LPPB mempertimbangkan keputusannya mengosongkan unit rumah berkenaan tetapi gagal.
Beliau juga mendakwa LPPB tidak mengadakan sebarang dialog dengan penyewa sejak mengeluarkan notis pengusiran bertarikh Mei 2021.
“Suara penyewa yang kebanyakannya berada di bawah kumpulan B40, yang sebahagiannya telah menjadi penganggur berikutan pandemik Covid-19 tidak diendahkan,” dakwanya.
Beliau juga mendakwa kenyataan LPPB mengenai tindakan menyediakan perumahan untuk semua penduduk terjejas adalah tidak betul kerana hanya 30 daripada 315 penyewa telah ditawarkan rumah kos rendah di Taman Jaya Diri, Puri Warisan dan Bukit Setia serta tawaran itu dikeluarkan selepas tempoh tujuh bulan yang diberikan LPPB kepada penyewa untuk mengosongkan flat tersebut.
“Penyewa flat Tanjung Aru menggesa LPPB menangguhkan arahan mengosongkan unit rumah sehingga semua penyewa ditempatkan semula,” katanya.
Beliau juga merayu LPPB melantik jurutera perunding bertauliah untuk menjalankan kajian dan penilaian struktur bangunan itu bersama-sama pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Sabah Electricity Sdn Bhd.
“Sekiranya bangunan itu didapati selamat untuk didiami selepas penilaian dibuat, kami merayu kepada LPPB untuk membenarkan kami terus tinggal di unit perumahan masing-masing,” katanya.
Sumber: Borneo Post