KOTA KINABALU: Wartawan, jurugambar dan penerbit dari media cetak, elektronik dan atas talian (online) di Sabah dan Labuan kini boleh menghantar penyertaan untuk Kinabalu Press Awards (KPA) 2021 bermula 1 Ogos 2021.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar berkata, tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Ogos 2021.
“SJA dengan sukacitanya mengumumkan Kerajaan Negeri Sabah di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tetap meneruskan sokongan terhadap penganjuran KPA sebagai acara tahunan yang menghargai kecemerlangan media,” katanya.
Katanya, bagi penganjuran KPA kali ini, Petronas dan Shell Sabah turut sama menjadi penaja.
“SJA amat berterima kasih atas sokongan kesemua penaja terutama pada waktu yang sangat mencabar dihadapi negeri ini dan juga di seluruh negara.
Beliau berkata, berikutan pandemik COVID-19 yang tercetus pada 2020, penganjuran KPA ditangguhkan tahun lepas.
“Sehubungan itu, SJA memutuskan untuk meneruskan penganjurannya tahun ini dengan membuka penyertaan yang merangkumi liputan berita bagi tahun 2019 dan 2020,” katanya.
Bagaimanapun, memandangkan keadaan COVID-19 yang masih berterusan di negeri ini, SJA sebagai jawatankuasa penganjur memutuskan tarikh bagi majlis penganugerahan KPA akan diumumkan kemudian.
Menurutnya, keputusan akan dibuat sama ada majlis berkenaan akan diadakan atau dianjurkan dalam skala kecil pada penghujung tahun ini.
“Kami menggalakkan para wartawan dan jurugambar dari media cetak, penyiaran serta atas talian untuk menyertai pertandingan ini bagi meraikan dan menghargai mereka yang terbaik dalam bidang media.
“Semua penyertaan hendaklah dihantar secara atas talian: www.mpi.my/form/kinabalu-press award-2021-entry-form.
“Borang penyertaan serta peraturan dan undang-undang juga boleh diperoleh dari Ahli Jawatankuasa Penganjur SJA dalam tempoh penyertaan dibuka,” katanya.
Muguntan berkata, bagi anugerah tahun ini, SJA turut memutuskan untuk membenarkan penyertaan dari kalangan wartawan, jurugambar dan jurukamera, yang bekerja sepanjang tempoh 2019-2020, tetapi tidak lagi berkecimpung dalam bidang media sekarang.
Menurutnya, keputusan ini dibuat untuk menghargai sumbangan ramai wartawan yang kehilangan pekerjaan kerana diberhentikan kerja atau pemotongan gaji atau meninggalkan kerjaya wartawan semasa pandemik COVID-19.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi jawatankuasa penganjur SJA di talian 019-8508059 (Aisyah) atau 012-345 5696 (Ricardo).