LABUAN: Penyeludupan rokok di negara ini menurun sebanyak enam peratus tahun lepas berikutan pengenaan duti eksais ke atas rokok dan produk tembakau mulai Januari 2021, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.
Menurut beliau pengenaan duti eksais telah memberi kesan kepada penyeludupan rokok tetapi masih belum dapat dilihat sama ada kesannya dapat dikekalkan.
“Kita akan terus memantau (dasar duti eksais) sama ada ia berfungsi dengan baik atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan rasmi ke Labuan Liberty Wharf (pelabuhan kontena Labuan) di sini semalam.
Abdul Latif berkata pemain industri boleh memberi pandangan dan cadangan kepada Kastam mengenai kesan keputusan kerajaan mengenakan duti eksais ke atas rokok dan produk tembakau.
“Menurut kajian yang dijalankan oleh British American Tobacco (BAT), penyeludupan rokok menyebabkan kerajaan menanggung kerugian sehingga RM5.1 bilion cukai rokok setiap tahun. Angka ini menjadi cabaran kepada kita untuk membendung kegiatan terlarang ini,” katanya.
Abdul Latif berkata jabatan kastam merekodkan peningkatan 9.9 peratus dalam kutipan cukai kepada RM42.5 bilion tahun lepas daripada RM38.67 bilion pada 2020.
“Kami optimis dapat mengutip hasil RM45 bilion untuk tabung kerajaan tahun ini, tetapi ia bergantung kepada keadaan ekonomi. Dengan semua sektor ekonomi kini dibenarkan beroperasi, kami amat yakin dapat mencapai sasaran itu,” katanya.
Terdahulu, beliau diberi taklimat oleh pengendali pelabuhan Labuan Megah Port Management Sdn Bhd mengenai penambahbaikan kemudahan pelabuhan, termasuk penyiapan limbungan kontena konkrit dan projek pagar keselamatan pelabuhan.
Beliau berkata pelabuhan Labuan perlu terus mengembangkan operasi dan perkhidmatannya bagi menampung sektor berkaitan minyak dan gas di pulau ini.
“Kastam akan memudahkan apa sahaja transaksi perniagaan yang dikendalikan oleh pengendali pelabuhan, dan pengendali pelabuhan mesti sentiasa merujuk pegawai kami mengenai sebarang dasar baharu yang dikuatkuasakan,” katanya. – Bernama