Penyelenggaraan jalan LPB untuk keselesaan Agong, pengguna jalan raya

repair-jln.jpg

KERJA-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang masih berjalan di laluan Papar-Bongawan.

Kongsi Bersama

PUTATAN: Kerja-kerja penyelenggaraan jalan di laluan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah telah siap dan bersedia untuk digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, jalan yang akan dilalui oleh Seri Paduka sempena Jelajah Kembara Borneo bermula 3 September ini adalah laluan jajaran LPB.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kerja Raya telah mengarahkan syarikat konsesi untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan bagi memastikan keadaan jalan selesa dan selamat untuk pemanduan Yang diPertua Agong.

“Saya mendapat laporan bahawa kerja-kerja tersebut telah siap dan ada yang masih berlangsung jadi, kita mahu memastikan jalan berada dalam keadaan selesa dan selamat.

“Ia bukan sahaja baik untuk kembara Yang diPertua Agong tetapi, baik untuk pengguna jalan raya di Sabah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penyelenggaraan jalan raya sempena Kembara Jelajah Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ceramah Motivasi Sabah Maju Jaya (SMJ) di Putatan semalam.

Menurut Shahelmey, kos penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan. Malah, peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan juga telah ditingkatkan pada tahun ini.

“Itu membolehkan banyak kawasan-kawasan di sepanjang jalan Persekutuan telah diperbaiki. Mungkin bukan 100 peratus tapi, ia membolehkan kita menyediakan kemudahan jalan raya yang selamat dan selesa untuk digunakan oleh pengguna jalan raya,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong dijadualkan akan menelusuri jalan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo bermula dari Tawau dan berakhir di Kuching, Sarawak pada 16 September sempena sambutan Hari Malaysia.

Projek LPB Sabah melibatkan 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer yang bermula dari sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin hingga ke Tawau, telah dimulakan pada Julai 2016.

Ketika ini, kerja-kerja penyiapan fasa satu LBP Sabah yang melibatkan 15 pakej kerja telah mencapai 82 peratus dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2025.

Daripada 35 pakej itu, 19 pakej kerja belum dimulakan, kerja-kerja pembinaan dijadualkan diadakan secara serentak pada tahun depan. –UTUSAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top