SELANGAU: Penyandang Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan semula tidak akan dilupakan jika pakatan politik itu menang besar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua individu yang tidak dicalonkan itu mempunyai jasa yang besar bukan sahaja kepada parti malah kepada negara secara amnya.
Jelasnya, keputusan untuk memberikan peranan penting kepada rakan seperjuangannya itu dalam pentadbiran kerajaan hanya akan dapat diputuskan jika BN telah sah meneraju negara.
“Rakan-rakan saya bekas menteri kabinet bekas timbalan menteri dan sebagainya mempunyai jasa yang besar bukan sahaja kepada parti juga kepada negara, jasa mereka kita tidak akan lupa lebih lebih lagi apabila mereka tak dapat bertanding.
“Mereka tidak menentang parti walaupun kita tahu saya sendiri pun agak kecewa apabila rakan-rakan yang juga calon boleh menang, yang setia kepada parti tidak dapat bertanding.
“Yang pentingnya adalah, semua rakan-rakan yang tak dapat bertanding telah bekerja kuat untuk memastikan kemenangan kita.
“Insya Allah kita akan putuskan, tapi seperti saya kata, beri kemenangan dulu kalau kalah tak boleh nak lantik siapa-siapa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis perasmian pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08 di sini pada Isnin.
Antara calon BN yang digugurkan adalah penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba, Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Tambah Ismail Sabri lagi, BN juga fokus untuk meneruskan agenda yang telah dibentangkan dalam Bajet 2023 sebagai amanat kepada rakyat dan mungkin dengan struktur yang ditambah baik.
“Yang pentingnya akan dibentangkan semula berdasarkan sasaran yang lepas tapi ada berkemungkinan ditambah baik jadi kita akan tengok selepas PRU15, kita perlu menang itu yang penting supaya boleh bentang semula bajet yang sama.
“Kalau orang lain mengambil alih itu hak mereka untuk membentangkan semula atau pun dia ada bajet lain kita tak boleh kawal, tapi kalau the BN yang menguasai, kerajaan akan datang pastinya akan bentangkan bajet semula sebab di dalam sebahagian besar manifesto BN adalah berdasarkan bajet yang dibentangkan,” ujarnya lanjut. – AWANI