KOTA KINABALU: Tindakan tegas perlu diambil bagi membanteras penyambungan elektrik secara haram.
Pengerusi Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia, David Chan berkata, pihaknya menzahirkan kebimbangan berkenaan isu berkenaan yang dilihat semakin meningkat.
“Aktiviti haram ini bukan sahaja menyebabkan gangguan bekalan elektrik tetapi juga berisiko mengakibatkan litar pintas yang boleh merosakkan peralatan kritikal seperti suis utama milik Sabah Electricity.
“Kerosakan ini menyebabkan beban kewangan besar kepada Sabah Electricity dan akhirnya memberi kesan kepada pengguna melalui gangguan perkhidmatan serta kemungkinan peningkatan kos,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, situasi itu telah mencapai tahap kritikal dan memerlukan siasatan segera serta menyeluruh oleh pihak berkuasa dan polis.
David berkata, pihaknya menyeru Sabah Electricity meningkatkan usaha untuk mengesan dan menangani penyambungan haram, sekali gus memastikan infrastruktur mereka dilindungi.
“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, adalah penting bagi orang ramai memainkan peranan dalam melindungi sistem bekalan elektrik.
“Kami menggalakkan semua pihak agar melaporkan sebarang kes yang disyaki berkaitan penyambungan bekalan elektrik secara haram kepada Sabah Electricity.
“Kerjasama anda amat penting bagi memastikan bekalan elektrik yang selamat, stabil dan tidak terganggu untuk semua,” katanya.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil kepada pihak tidak bertanggungjawab demi melindungi hak serta kepentingan semua pengguna. – Utusan Borneo