Oleh: Yussof Imbang
KOTA KINABALU; Hukuman lebih berat wajar dikenakan kepada pelaku yang membuat sambungan bekalan air dan elektrik secara haram, sekiranya kerajaan bersetuju menerima cadangan mengenai perkara itu.
Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, dalam masa yang sama satu ‘Jawatankuasa Siasatan Bebas’ perlu ditubuh bagi menyiasat kecurian bekalan air dan elektrik yang bertambah serius di Sabah.
“ Jika jawatankuasa bebas itu bukan sahaja bertindak menjalankan siasatan tetapi perlu mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan termasuk hukuman lebih berat kepada pelaku, “ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 perlu disemak semula untuk pindahan baharu yang lebih berat.
Mengulas lanjut, Masiung berkata, isu kecurian air dan elektrik yang diwarisi di Sabah sejak beberapa kerajaan dahulu banyak dipengaruhi kelemahan penguatkuasaan.
Beliau berasa hairan, kenapa pegawai penguatkuasa atau pembaca meter Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kurang menyedari perkara tersebut dan hanya bertindak apabila ada aduan.
Menurut Masiung, masalah ini telah menyumbang kepada krisis air dan elektrik hingga memaksa kerajaan melaksanakan catuan kedua-dua bekalan itu hampir di semua daerah di wilayah Sabah.
“ Tumpuan utama siasatan ialah di kawasan perumahan setinggan yang padat dengan pendatang asing selain kilang-kilang dan premis perniagaan.
“ Saya difahamkan selepas pihak berkuasa memotong sambungan haram air dan elektrik ini… hanya selang beberapa hari mereka (pelaku) telah membuat sambungan semula di lokasi lain.
“ Adalah tidak adil bagi penduduk tempatan yang setia membayar bil setiap bulan apabila ada pihak lain mendapat bekalan secara tidak sah tanpa perlu membayar apa-apa, “ katanya.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata masalah pengurusan air di Sabah kini semakin meruncing menyebabkan pembinaan Loji Rawatan Air Telibung 2 yang membekalkan air ke Kota Kinabalu yang sepatutnya siap tahun lalu telah mengalami kelewatan.
Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-4 pada 24 Mei lalu, Masiung lantang membangkitkan masalah air dan elektrik yang semakin kritikal di Sabah.
Beliau mahukan SESB dan JANS mensasarkan catuan bekalan itu kepada kediaman golongan berpendapatan tinggi termasuk menteri-menteri, jika berlaku kerosakan barangan elektrik di rumah mereka.
Berbanding rakyat kurang berkemampuan yang terpaksa mengumpul wang dalam tempoh yang lama untuk mengganti barangan elektrik yang rosak akibat catuan elektrik.