KOTA KINABALU: Pengagihan bantuan Sumbangan Asas Rahman (SARA) melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada tahun ini berbanding hanya di Semenanjung Malaysia pada tahun 2024, lapor Bernama.
Laporan itu memetic kenyataan Kementerian Kewangan hari ini yang memaklumkan bahawa kerajaan akan mengagihkan SARA melalui MyKad setiap bulan kepada 700,000 golongan miskin dan miskin tegar mulai esok (15 Januari 2025).
Kenyataan itu juga menyebut kadar bantuan telah ditingkatkan melalui SARA, dengan isi rumah miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam pangkalan data eKasih akan menerima RM2,100 pada tahun 2025 berbanding RM1,200 pada tahun 2024.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke MyKad penerima bagi tempoh Januari hingga Mac 2025. Kadar ini akan dinaikkan kepada RM200 sebulan mulai April 2025.
“Kaedah ini adalah penambahbaikan berbanding tahun lalu, yang mana pengagihan tunai kepada penerima SARA di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan dilakukan dua kali setahun,” kata kementerian itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, berkata bahawa SARA adalah pendekatan bantuan bersasar dengan sebahagian peningkatan hasil negara dan penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
Beliau menyatakan dalam kenyataan tersebut bahawa pengagihan SARA melalui MyKad juga bersifat bersasar kerana kaedah ini memastikan golongan miskin menerima manfaat dalam bentuk barangan asas, termasuk makanan keperluan.
“Berpegang kepada prinsip keadilan dan nilai kemanusiaan yang memacu kerangka Ekonomi MADANI, penstrukturan kewangan kerajaan ini memastikan manfaatnya dinikmati oleh rakyat. Kerajaan MADANI komited menggunakan teknologi digital terkini untuk memastikan pengagihan bantuan dilakukan secara menyeluruh dan mudah diakses oleh rakyat,” tambah beliau.
Di bawah program SARA, penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan terpilih menggunakan MyKad mereka di pasar raya dan kedai runcit berdaftar, yang kini berjumlah lebih 1,200 di seluruh negara berbanding 700 pada tahun 2024.
Penerima SARA boleh menggunakan dana yang dikreditkan untuk membeli barangan keperluan terpilih seperti barangan kebersihan diri, ubat-ubatan, dan peralatan sekolah, selain barangan makanan asas.