Penyakit NCD di Sabah meningkat, membimbangkan

dr-asits-larian.jpg

Dr Asits dan Lo bergambar bersama semua peserta larian ketika membuat pelepasan program berkenaan.

Kongsi Bersama

TAWAU: Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dilaporkan semakin meningkat di negeri ini dan ramai penduduk dikesan mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Asits Sanna berkata, penyakit berkenaan dilihat semakin membimbangkan di negeri ini dan perlunya ada inisiatif bagi membendung masalah itu.

Katanya, pelbagai program telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kesiahatan Negeri Sabah (JKNS) di seluruh negeri bagi memberi kesedaran dan mengatasi penyakit berkenaan.

“JKNS ketika ini dalam rangka mengadakan program-program jelajah sihat di seluruh negeri termasuk di daerah Tawau.

“Program ini adalah di bawah aktiviti Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang melibatkan pelbagai rakan strategik termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Subuh Sihat ‘Lari, Subuh Dulu’ Peringkat Daerah Tawau, di sini semalam.

Program yang dihadiri lebih 500 orang itu turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman dan Pengerusi Masjid Al-Kauthar Haji Khalid Haji Tahir.

Menurutnya, program yang melibatkan aktiviti fizikal adalah cara untuk mengurangkan faktor-faktor risiko yang mungkin ada dalam badan kita.

“Setiap program-program yang dilaksanakan akan diadakan saringan kesihatan secara percuma supaya masyarakat dapat mengetahui tahap kesihatan mereka.

“Mana-mana penduduk yang dikesan mempunyai faktor risiko, kita akan memberikan intevensi dan rawatan untuk mencegah komplikasi penyakit,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) adalah untuk melihat dan mencapai sasaran Malaysia termasuk di negeri Sabah sihat menjelang tahun 2030.
Dr Asits (tiga kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Lo.

Sementara itu, Lo berkata, permulaan bagi menjaga kemakmuran dan kesejahteraan di daerah ini memerlukan penduduk yang sihat tanpa sebarang penyakit.

Katanya, program larian subuh ini dilihat sangat bermanfaat dan ia melibatkan penjagaan rohani kerana peserta perlu menjalankan ibadah di masjid dahulu sebelum berlari.

“Bagi saya program ini perlu diteruskan, bukan hanya waktu-waktu tertentu sahaja kerana ia dapat melahirkan masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada JKNS dan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau kerana mengambil inisiatif ini bagi membantu penduduk menjaga kesihatan mereka,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 73 peratus kematian di negara ini yang disebabkan penyakit tidak berjangkit adalah akibat budaya hidup tidak sihat.

Manakala, hampir 50 peratus tidak mengetahui mereka menghidapi NCD dan ini membawa kepada peningkatan risiko mendapat komplikasi jika tidak mendapatkan rawatan awal. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top