Penurunan Kuasa Perikanan: Langkah Pertama Ke Arah Autonomi Penuh – Dr Jeffrey

Jeffrey-n-Ronald.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penurunan kuasa perikanan adalah langkah pertama ke arah Sabah memperoleh semula autonomi yang lebih besar daripada kerajaan persekutuan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata beliau gembira kerana perjuangan untuk memulihkan autonomi Sabah semakin mendapat momentum sejak GRS mengambil alih kuasa di wilayah ini.

“Ini adalah satu langkah yang sangat baik dan positif ke arah mencapai autonomi Sabah dan Sarawak. Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan rakan sejawatan saya, Datuk Seri Panglima Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, kerana menjayakan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Kitingan menerima surat penurunan kuasa perikanan laut dalam Sabah daripada Kiandee di Mini Auditorium Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Sabtu.

Majlis itu dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).  Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.

Kitingan berkata hasil penurunan kuasa itu, kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Sabah kini boleh memproses dan mengeluarkan lesen perikanan laut dalam di Sabah dan Labuan.

“Langkah seterusnya ialah kerajaan Sabah menggubal undang-undang kita sendiri mengenai perikanan. Ini adalah satu perkembangan besar dan kemenangan bagi kerajaan Sabah pimpinan GRS yang kita mampu mencapainya.

“Sebelum hari ini, semua yang dikaitkan dengan lesen laut dalam terpaksa pergi ke peringkat persekutuan yang menyusahkan dan merugikan industri perikanan kita,” katanya.

Beliau menambah bahawa usaha cemerlang kerajaan GRS ke arah memulihkan autonomi penuh Sabah tidak akan terhenti setakat itu, dan kerajaan GRS akan terus bekerjasama dengan kementerian Ongkili untuk mencapai autonomi penuh.

“Intinya, kami mahukan hak kami kembali, dan saya gembira kami mencapai kemajuan ke arah itu.

“Dengan kerjasama yang erat dan sihat antara kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan, saya optimis kita akan dapat mencapainya lebih awal,” katanya.

Kerajaan Sabah secara rasmi menerima surat pemberian kuasa untuk membenarkan negeri itu mengeluarkan lesen sendiri bagi menangkap ikan di laut dalam.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) telah meluluskan cadangan itu semasa mesyuarat pada 18 Oktober lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Perdana Menteri telah bersetuju memberi kuasa kepada pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan permit dan lesen bagi perikanan laut dalam di Zon C2,” kata Ronald dalam ucapannya semasa majlis penyampaian surat itu.

Turut hadir Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya and Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ronald menjelaskan, skop pemerkasaan itu akan merangkumi pemprosesan permohonan, pengauditan dan kelulusan permohonan, tertakluk kepada terma dan syarat.

“Saya berharap keputusan bersama ini memberi manfaat kepada kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutamanya dari segi pengurusan sumber perikanan, keselamatan maritim dan hubungan antarabangsa,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pemerkasaan itu juga akan memberi Sabah kuasa untuk melaksanakan polisi berkaitan perikanan sedia ada dan baharu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top