Penuntut Malaysia Juara Pertandingan Pidato Umum Dunia

Pavit-Coran-bernama.jpg
Kongsi Bersama

Penuntut Malaysia Pavit Coran muncul sebagai johan Pertandingan Pidato Umum Antarabangsa English Speaking Union (ESU) yang diadakan secara maya pada Jumaat lalu.

Pavit, 19, penuntut Universiti Multimedia kampus Melaka yang mewakili English Speaking Union of Malaysia (ESUM) itu menewaskan 35 lagi peserta dari 33 negara pada finale, kata ESUM dalam kenyataan hari ini.

Dalam ucapan selama lima minit itu, anak muda berkenaan bercakap tentang peningkatan jumlah mereka yang mengalami kemurungan di seluruh dunia dan menggesa masyarakat serta kerajaan memberi perhatian terhadap isu tersebut.

Pavit yang mengesa tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah itu, berkata beliau “amat gembira, bersyukur dan berasa diberkati” kerana beliau tidak percaya dapat mengalahkan begitu ramai peserta dan muncul juara.

“Walaupun saya tidak dapat ke London untuk bertanding, penyertaan secara dalam talian itu memberi pengalaman baharu buat saya selain turut menghadapi masalah seperti sambungan Internet,” katanya.

Pemuda itu menyifatkan keseluruhan proses sebagai menarik kerana beliau dapat bertemu ramai peserta dari negara berbeza tanpa perlu meninggalkan rumahnya serta mendengar pembentangan tema yang sama daripada peserta lain.

Ini merupakan kali kedua Malaysia memenangi anugerah Pemidato Terbaik pada kejohanan tahunan itu selepas Marina Tan pada 2011.

Pengerusi ESUM Tunku Dara Tan Sri Naquiah yang meluahkan rasa gembiranya atas kejayaan Pavit, berkata “anak muda itu memang berhak menang dan kemenangannya adalah untuk Malaysia.”

 

Foto: Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top