Penularan Omicron, Keganasan Delta Boleh Cetus Tsunami Pandemik – Noor Hisham

noor-hisham-1.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Penularan Covid-19 varian Omicron dengan cepat dan keganasan varian Delta boleh mencetuskan tsunami pandemik jika langkah-langkah pencegahan dan kawalan awal, tidak diambil.

Peringatan itu diberikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di media sosialnya, kelmarin.

Beliau berkata, ia berikutan data yang menunjukkan kes baharu Covid-19 semakin meningkat di banyak negara, dipercayai dicetuskan penularan Omicron khususnya di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Setakat 25 Disember lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 62 kes Covid-19 varian Omicron direkodkan di Malaysia, hasil ujian jujukan genom penuh yang dilakukan.

Menurut Dr Noor Hisham, 306 kes lagi telah dikesan tetapi belum disahkan dengan ujian jujukan genomic penuh yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM.

Terdahulu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan sekatan perjalanan sementara terhadap lapan negara yang dikenakan sebelum ini susulan peningkatan kes varian Omicron, ditamatkan serta-merta.

Menurutnya, kesemua negara berkenaan kini diklasifikasikan dan dimasukkan dalam senarai negara berisiko tinggi dan pengembara yang tiba dari negara terbabit perlu mematuhi protokol ditetapkan.

Antaranya pemakaian peranti pengesan digital, kuarantin wajib tujuh atau 10 hari, ujian kendiri RTK-Ag secara harian sewaktu kuarantin dan beberapa protokol lain.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top