Penting Perjelas Isu Inflasi Kepada Rakyat Dengan Komunikasi Berkesan – Pengarah JaPen Sabah

inflasi.jpg

Gambar sekadar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Komunikasi berkesan amat penting dalam menjelaskan isu semasa negara termasuk inflasi bagi membolehkan rakyat memahami sepenuhnya perkara itu, kata Pengarah Jabatan Penerangan Sabah (JaPen), Jainisah Mohd Noor.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pegawai JaPen meningkatkan kefahaman dan pengetahuan mengenai isu semasa termasuk inflasi supaya mereka dapat memberi penerangan yang lebih terperinci, berkesan dan menyeluruh kepada masyarakat setempat.

“Komunikasi yang berkesan adalah penting dalam menyampaikan maklumat bagi memastikan rakyat memahami setiap isu.

“Dengan komunikasi yang berkesan, kita juga dapat menghapuskan maklumat tidak tepat dan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, yang menggunakan isu inflasi sebagai salah satu cara menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program taklimat isu semasa zon Sabah anjuran Bahagian Operasi dan Pengurusan Isu Psikologi JaPen Sabah, yang turut memfokuskan isu dan cabaran inflasi bagi Malaysia di sini semalam.

Jainisah berkata, taklimat itu juga menjadi platform kepada tenaga kerja Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Sabah khususnya pegawai JaPen memahami sepenuhnya isu inflasi sebelum turun padang memberi maklumat berkaitan kepada masyarakat.

Beliau berkata program itu akan diadakan di semua daerah di Sabah, dengan pegawai penerangan diberi tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat inflasi yang relevan kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

Terdahulu, Ketua Pengarah JaPen Datuk Mohd Sukari Ab Hamid yang teks ucapannya dibacakan oleh Jainisah berkata berdasarkan data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 29 Ogos, kadar inflasi Malaysia yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 untuk Julai 2022 berbanding 122.5 pada Julai 2021.

Beliau berkata peningkatan kadar inflasi negara didorong oleh kenaikan harga dalam beberapa sektor utama, termasuk makanan dan minuman, hospitaliti, pengangkutan serta bekalan air, tenaga dan bahan api.

“Isu kenaikan kadar inflasi bukan sahaja berlaku di negara kita. Ini adalah isu global yang dirasai oleh banyak negara. Boleh dikatakan hampir semua negara ketika ini terjejas dengan isu kenaikan kadar inflasi,” katanya. — BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top