Pentadbiran Negeri Sabah Kini Dikenali Sebagai Kerajaan GRS-BN, Kata KM

hajiji2.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Nama pentadbiran negeri Sabah kini ditukar kepada Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang mengumumkan ini berkata, beliau tidak ada masalah dengan cadangan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin agar nama pentadbiran negeri Sabah dikenali sebagai Kerajaan Negeri GRS-BN.

“Malah, ini (dipersetujui) sebelum pilihan raya negeri lalu bahawa GRS akan memasukkan BN walaupun ia (BN) adalah gabungan lain dan tidak boleh berada dalam GRS.

“Tetapi dalam Kerajaan Negeri ia berbeza, ia adalah gabungan antara GRS dan BN.

“Jadi mulai hari ini kita akan panggil Kerajaan Negeri GRS-BN,” kata Hajiji yang merupakan Pengerusi Penaja GRS ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Tamparuli di sini hari ini.

Bung, yang juga Timbalan Ketua Menteri membuat gesaan itu selepas GRS didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah gabungan politik yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Sebelum pendaftarannya, GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN dan PBS.

Komponen BN ialah UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

Walaupun BN bukan sebahagian daripada GRS yang didaftarkan secara rasmi, Bung berkata, mereka sentiasa menyokong Kerajaan GRS serta menjadi sebahagian daripada gabungan politik yang memenangi pilihan raya negeri yang lalu.

Bung juga berkata, adalah tidak adil sekiranya BN tidak disebut sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri.

“Kita mendukung kepimpinan GRS dalam mentadbir negeri,” kata Bung.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top