Peningkatan Mendadak Pengundi Baharu: PBS Arah Bahagian Semak Daftar Pemilih

joniston-pengundi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bimbang terhadap kemungkinan pengundi tidak sah muncul daripada pendaftaran automatik Parti Bersatu Sabah (PBS) meminta setiap bahagiannya menyemak senarai daftar pemilih secara menyeluruh bagi memastikan identiti pengundi baharu.

Ketua Penerangannya, Joniston Bangkuai, berkata beliau mencadangkan langkah itu susulan peningkatan mendadak jumlah pengundi baharu dalam tempoh dua tahun.

“Setiap bahagian perlu meneliti secara proaktif daftar pemilih untuk mengenal pasti nama-nama yang mungkin asing bagi mereka.

“Kumpul dan laporkan penemuan ini kepada ibu pejabat parti supaya kita mempunyai asas untuk meneruskan tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Dilaporkan bahawa kajian statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan peningkatan luar biasa, iaitu 574,120 pengundi baharu di Sabah, berbanding pilihan raya sebelum ini yang meningkat kepada 1,064,686 pengundi.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa kenaikan itu bukan disebabkan Undi18 tetapi berlaku pada tahun 2018 dan 2020.

Joniston berkata, peningkatan mengejutkan lebih setengah juta pengundi baharu sejak pilihan raya negeri lalu memerlukan semakan menyeluruh terhadap daftar pemilih.

Jelasnya, PBS menerusi undang-undang akan menggali data yang berkaitan untuk meneliti pertumbuhan ketara negeri dalam pengundi berdaftar.

Mengulas lanjut Joniston berkata, PBS juga telah berulang kali membuat permohonan pelantikan dengan SPR.

Hal itu, bagi mendapatkan jaminan bahawa pilihan raya Sabah adalah bersih tanpa pengundi yang boleh dipersoalkan jika pendaftaran automatik bagi mereka yang berumur 18 tahun di Sabah masih berterusan.

Bagaimanapun permintaan itu tidak dilayan sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Presiden PBS Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili sebelum ini berkata, walaupun parti itu menyokong pendaftaran automatik mereka yang berumur 18 tahun, ia tidak sepatutnya dilanjutkan ke Sabah melainkan senarai pemilih sedia ada disemak dan disahkan secara menyeluruh.

Ini kerana terdapat laporan dan aduan pengundi yang mencurigakan dalam pilihan raya sebelum ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top