Peningkatan Kes Positif Di Sabah Dijangka Berterusan Sehingga Sebulan – Pengarah JKNS

rose-nani.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes positif COVID-19 di Malaysia termasuk di Sabah dijangka akan berterusan sehingga tempoh satu bulan bermula daripada tarikh awal negara melaporkan trend peningkatan bermula penghujung Januari lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, ia berdasarkan penilaian epidiomiologi dan trend peningkatan kes yang berlaku secara global.

‘’Kalau kita menganalisis epidimiologi ataupun trend kes-kes yang berlaku di Eropah, Amerika Syarikat atau di Asia Tenggara dan negara-negara Pasifik Barat, selalunya peningkatan ni berlaku satu bulan contohnya di wilayah-wilayah lain mereka mengalami peningkatan seawal 20 Disember 2021 dan peningkatan tersebut berkurang selepas 20 Januari 2022.

‘’Untuk di Malaysia sebab kita mengalami peningkatan ini mungkin bermula pada akhir Januari jadi kemungkinan kita akan mengalami perkara yang sama iaitu peningkatan ni berlaku dalam masa sebulan,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI secara langsung menerusi slot AWANI Borneo pada Sabtu.

Bagaimanapun ujarnya, pengurangan angka kes positif ini masih bergantung kepada tahap kepatuhan semua pihak terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Ini termasuk mengelakkan diri daripada berhimpun di kawasan tumpuan umum dan acara keramaian seperti kenduri kahwin.

Selain itu, ketika ditanya mengenai peningkatan kes positif yang mendadak di Sabah, Dr Rose Nani berkata, vaksinasi adalah langkah yang perlu dilakukan sebagai perlindungan kepada penularan virus tersebut.

Beliau antara lain juga menggesa ibu bapa di Sabah untuk memainkan peranan dengan membawa anak mereka untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

‘’Kita telah membuka semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk vaksinasi bagi kanak-kanak dan setakat ini baru 1300 lebih kanak-kanak yang divaksinasi di Sabah. Ini juga mungkin kurang mendapat sambutan dalam kalangan ibu bapa dan juga rakyat Sabah.

‘’Jadi saya berharap mereka akan mempertimbangkan perkara ini anak-anak akan ke sekolah dan pencegahan kepada virus ini adalah dengan mematuhi SOP.

‘’Namun kadar kepatuhan SOP dalam kalangan mereka mungkin agak kurang sekitar 60-70 peratus, jadi vaksinasi adalah satu pencegahan yang baik untuk mereka,’’ tambahnya.

Pada Sabtu, Sabah mencatatkan 4,107 kes dengan 99.66 peratus atau 4,093 kes merupakan kategori satu dan dua, manakala 14 kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima. – AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top