Peniaga Minta Uptown Beaufort Dinaik Taraf

uptown-beaufort.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Para peniaga di Uptown Beaufort di sini, memohon pihak berkaitan menaik taraf kawasan yang menjadi tumpuan ramai itu, termasuk menyediakan tempat letak kereta bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

Peniaga burger Mohd Shahrul Misran, 36, berkata Uptown Beaufort yang telah wujud sejak 10 tahun lepas bukan sahaja ‘menghidupkan’ suasana malam, tetapi juga menjadi sumber rezeki peniaga, namun kawasan sekitar yang serba kekurangan menyebabkan ketidakselesaan kepada peniaga dan pelanggan.

“Kawasan uptown itu bukan hanya terletak berhampiran Sungai Padas, tetapi juga lintasan keretapi, jambatan dan bulatan laluan utama ke Pekan Beaufort.

“Masalah di sini ialah tempat letak kereta sebab tiada kawasan besar, di belakangnya Sungai Padas, di tepi pula jambatan, di depan laluan utama jalan raya dan landasan kereta api,” katanya kepada Bernama.

Mohd Shahrul Misran, yang berniaga sejak dua tahun lalu berharap masalah itu akan mendapat perhatian pihak berkaitan agar dapat menyediakan kawasan yang lebih selesa untuk peniaga dan pengunjung.

Uptown Beaufort dibuka seawal 4 petang hingga 3 pagi namun kini ia ditutup 12 tengah malam selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Terdapat lebih 10 buah gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman selain pengunjung turut dihiburkan dengan nyanyian daripada kumpulan busking belia Beaufort.

Seorang lagi peniaga Mohd Nazlan Junaidi, 35, yang menjual cendol, air batu campur (ABC) dan ais kisar pelbagai perisa, berkata beliau berharap pihak berkaitan membina gerai perniagaan yang sesuai untuk peniaga.

Katanya dia mengeluarkan modal sendiri dianggarkan lebih RM1,000 untuk membuat gerainya yang terletak di tepi jambatan merentangi Sungai Padas.

“Kami peniaga di sini berharap akan ada penyelesaian untuk kebaikan peniaga kerana uptown ini menjadi tumpuan ramai,” katanya. – Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top