TAMBUNAN: Kerajaan akan memastikan penjaja dan peniaga kecil di daerah ini terus berkembang maju seperti sebelum Covid-19 melanda.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata beliau menyedari bahawa dua tahun lalu adalah tempoh yang sukar bagi peniaga kecil dengan ramai yang terpaksa menutup kedai akibat sekatan pergerakan berterusan ketika kerajaan berusaha membendung penularan virus itu.
“Kini sektor ekonomi dibenarkan untuk dibuka semula dan kita boleh menarik nafas lega.
“Oleh itu, acara hari ini bertujuan untuk memulakan aktiviti komersial di daerah ini dan membantu perniagaan tempatan sebaik mungkin,” katanya semasa pembukaan Tamu Besar Tambunan di sini, Selasa.
Jeffrey, yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan berkata acara itu adalah satu inisiatif kerajaan untuk menguji lapangan dan perlahan-lahan memudahkan orang ramai kembali kepada kehidupan normal walaupun SOP terus dikuatkuasakan.
“Kita mahu memulihkan kembali ekonomi domestik tetapi kita harus ingat bahawa pandemik belum berakhir dan kesihatan awam kekal sebagai keutamaan kita pada setiap masa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kitingan berkata pejabatnya berdedikasi untuk menjadikan Tambunan sebagai sebuah hab penting untuk pertanian dan pelancongan di Sabah.
Ini kerana daerah itu kaya dengan tanah yang subur dan sumber semula jadi yang unik yang tidak ada di daerah lain.
“Bagaimanapun, kita telah melihat peningkatan jumlah ternakan yang berkeliaran di atas jalan raya, dan dalam beberapa kes, mengakibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa serta harta benda.
“Oleh itu, saya menyokong penuh keputusan pihak berkuasa tempatan untuk menangkap kesemua ternakan yang dibiarkan oleh pemiliknya berkeliaran di atas jalan raya sebagai pengajaran untuk menjaga ternakan mereka dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata langkah itu akan memastikan Tambunan bersih ketika daerah itu bersiap sedia menyambut kedatangan semula pelancong tahun depan.
Pelbagai aktiviti diadakan semasa majlis itu termasuk persembahan koir, pertandingan nyanyian, pertunjukan silap mata, pertunjukan boneka dan lumba kereta kawalan jauh.