Peniaga Diminta Tidak Hadkan Pembelian Telur Ayam

david-tan-persatuan-pengguna-bijak.jpg

David Chan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah melahirkan rasa kecewa apabila ada sebilangan peniaga di Kota Kinabalu menghadkan pembelian telur ayam.

Presidennya, David Chan (gambar) berkata, masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran menyebabkan ada antara pengguna di bandar raya ini terpaksa mendapatkannya di beberapa kedai atau pasar raya berbeza bagi keperluan.

Katanya, malah pengguna juga mengadu mereka terpaksa membayar harga yang lebih mahal berbanding sebelum ini bagi mendapatkan keperluan tersebut.

“Kami menerima aduan terdapat pasar raya dan pasar mini di kawasan Kota Kinabalu kekurangan bekalan telur ayam menyebabkan pembelian dihadkan kepada jumlah tertentu.

“Terdapat kedai atau pasar raya sekarang hanya membenarkan pelanggan membeli satu papan telur sahaja.

“Telur merupakan keperluan yang perlu ada di rumah. Kami dapati harga telur ayam ini juga semakin mahal sejak awal tahun ini. Ia bukan sahaja mahal tetapi ada masanya sentiasa kehabisan bekalan.

“Contohnya, telur ayam gred B sebelum ini berharga sekitar RM10 tetapi sekarang mencecah sehingga RM14. Kenaikan ini sudah tentu memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna,” kata David.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini berikutan aduan kekurangan bekalan telur ayam serta harga yang semakin meningkat.

Menyentuh mengenai bekalan daging ayam, David mengingatkan peniaga bahawa kerajaan telah menetapkan harga siling RM8.90 sekilogram berkuat kuasa pada 5 Februari lalu dan sewajarnya peraturan tersebut dipatuhi.

Beliau berkata, meskipun faham bahawa peniaga kini tertekan dengan kos makanan dan dedak ayam yang semakin meningkat, penternak dan peniaga perlu sedar bahawa tindakan kerajaan itu adalah bagi melindungi rantaian makanan orang ramai dan pengguna.

Katanya, jika tidak dikawal pastinya harga makanan berasaskan ayam akan semakin meningkat sekali gus membebankan pengguna yang sudah tertekan dengan pelbagai kenaikan barangan lain.

Sementara itu mengulas mengenai laporan Jemaah Menteri Kabinet yang bersetuju memberi subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam, katanya, Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyambut baik keputusan tersebut.

David berkata, keputusan itu dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 sekilogram mampu menangani krisis bekalan ayam di pasaran.

Malah, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju memberi subsidi sebanyak lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis kategori.

“Kita yakin kerajaan sentiasa peka dengan masalah para penternak dan pengeluar ayam dan telur serta mahu mengambil jalan tengah secara menang-menang bagi menangani is bekalan dan harga.

“Malah semua ini bertujuan melindungi pengguna. Kita harap pengguna akan lebih berhemah semasa berbelanja dan bijak menguruskan perbelanjaan harian dalam keadaan ekonomi sekarang ini,” ujar David. – Utusan Borneo

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top