KOTA KINABALU: Peniaga diingatkan agar tidak menaikkan harga barangan kawalan sesuka hati melebihi harga maksimum ditetap kerajaan atau berdepan tindakan undang-undang.
Presiden Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia (YPNM), Cawangan Sabah, David Chan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga didapati mengamalkan sikap tidak beretika dalam perniagaan terutama dalam musim perayaan Krismas.
“Menjelang musim perayaan ini, peniaga jangan sesuka hati menaikkan harga barang-barang keperluan dan jangan mengambil kesempatan atau melanggar akta sedia ada di seluruh Sabah.
“Peniaga juga perlu meletak tanda harga pada semua barangan jualan bagi kemudahan pengguna ketika membeli-belah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
David berkata, pembeli mempunyai hak untuk membuat pilihan dengan membeli di kedai yang menjual barangan dengan harga yang tidak membebankan bagi memberikan peringatan kepada peniaga yang lain.
“Kita mengingatkan perniaga supaya menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan.
“Ini termasuk meletakkan tanda harga khas ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain,” kata David.
Sementara bagi itu, peniaga pasar beliau mengingatkan agar mereka sentiasa menjaga kebersihan dalam pengendalian makanan serta pengurusan sisa dan lebihan makanan.
“Peniaga pasar malam juga digesa supaya menjaga kualiti makanan dan tahap kebersihan premis masing-masing ketika berniaga sepanjang bulan ini.
“Selain menjaga kebersihan premis perniagaan dan juga kualiti makanan, peniaga juga perlu menitikberatkan aspek lain seperti soal pemakaian, mempamerkan tanda harga dan tidak menghalang lalu lintas semasa menjalankan perniagaan,” jelas David.
Menurutnya, beliau mengingatkan pengguna perlu sentiasa mengambil langkah berhati-hati memilih makanan yang dijual pasar-pasar malam.
“Langkah ini adalah bertujuan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti berlakunya keracunan makanan.
“Orang ramai boleh membantu KPDNHEP Sabah dengan melaporkan setiap kesalahan dengan menggunakan nombor talian 088-484368 (KPDNHEP Kota Kinabalu), Whatsapp 019-2794317 (Aduan Pengguna) atau email e-aduan@kpdnhep.gov.my,” tambah David. – SNT