Peniaga Catut Harga Air Minuman Berbotol Boleh Kena Tindakan

kpdnk-air.jpg

Azdy memeriksa botol mengandungi air minuman di kilang penapisan di Sandakan, hari ini. - Foto BERNAMA

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mencatut harga air minuman berbotol, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas melanda negara kini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John, berkata meskipun air minuman berbotol bukan barang kawalan, tindakan mencatut harganya boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Jika ada maklumat (peniaga mencatut), buat aduan. Jangan tularkan atau peniaga itu akan hapuskan bukti.

“Kita mahu bagi amaran kepada peniaga, jangan ambil kesempatan menjual minuman berbotol dengan harga tidak munasabah, lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini dengan cuaca panas dan masalah air di Sandakan,” katanya pada Selasa.

Azdy Zukkry mengulas tindakan segelintir peniaga mencatut harga air minuman berbotol itu selepas permintaan terhadap barang itu meningkat sejak beberapa bulan lalu.

Mengakui permintaan terhadap produk itu semakin tinggi, katanya, bekalan daripada kilang bagaimanapun tidak berkurangan.

“Kilang menambahkan bekalan. Tetapi pihak kami menasihati pengguna supaya membeli dengan berpada-pada,” katanya.

Penolong Pengurus Kilang Life Water Industries, Chong Yih Sien berkata, kilang itu memproses 10,000 karton air minuman berbotol bersaiz 1.5 liter sehari, namun susulan permintaan meningkat sejak beberapa bulan lalu, pihaknya menambah bekalan sehingga 50 peratus dengan meminta bantuan daripada kilang mereka di Kota Kinabalu, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga terpaksa menampung kos penyelenggaraan mesin pemprosesan air yang terjejas dengan kualiti air masin yang membelenggu Sandakan sejak beberapa bulan lepas akibat kerosakan loji rawatan air di Segaliud.

“Tapi bagi pihak syarikat, kami di sini boleh menjamin dan memberi keyakinan tidak ada kenaikan harga pada produk kami, ketika pada masa kesempitan dihadapi rakyat di Sandakan ini,” katanya. – BERNAMA

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top